Beduk berusia tujuh dekad kekal utuh - Utusan Malaysia

Beduk berusia tujuh dekad kekal utuh

MASJID Ubudiah di Kampung Sungai Raya, Batu 9, Cheras, dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 1974.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SEKITAR tahun 1952, beduk memang digunakan di masjid ini. Masa itu, penduduk di sini baru berpindah dari Kampung Bukit Raya, Hulu Langat.”

Itu perkongsian mengenai beduk yang menjadi budaya masyarakat Melayu khususnya di Nusantara.

Peranannya tidak dapat dinafikan kerana digunakan sebagai pemakluman masuknya waktu azan atau hebahan berita meninggal dunia dalam kalangan ahli kariah.

Ketiadaan sistem pembesar suara yang canggih ketika itu, kata Md. Zin Marulah, 71,  menyebabkan penggunaan beduk menjadi pilihan pihak pengurusan Masjid Ubudiah di Kampung Sungai Raya, Batu 9, Cheras, Selangor.

Kongsinya, beduk atau dipanggil sebagai ‘tong-tong’ dalam dialek minang sudah digunakan sejak era 50an, ketika masjid beroperasi di tapak lama.

“Tapak masjid lama berdepan masjid ini sahaja, tetapi sudah lama dirobohkan. Ketika itu, masjid sekarang adalah kawasan kolam ikan.

“Apabila masjid baharu dibina, beduk dipindahkan dan digantung seperti yang dapat kita lihat sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beduk atau tabuh merupakan sebuah gendang yang digunakan bagi menandakan masuk waktu solat di surau atau masjid pada zaman dahulu di serata rantau Nusantara dan Asia Tenggara.

Berdasarkan portal Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), ia juga digunakan sebagai alat muzik semasa upacara rasmi pada suatu masa dahulu.

Alat ini sering dipukul mengikut rentak yang semakin menaik lajunya atau dipanggil accelerando.

Pada kebiasaannya, ia diperbuat daripada bingkai kayu batang pokok nangka yang ditebuk, dan hanya sebelah bukaan dipasang kulit sama ada daripada kulit lembu atau kerbau.

CARA KETUK

Disoal perbezaan bunyi ketukan antara waktu azan dan ketika pengumuman ahli kariah yang meninggal dunia, Md. Zin berkata, ia bergantung kepada jumlah ketukan yang dipalu.

“Kalau bunyi azan, siak masjid akan mengetuk ia berkali-kali dengan ketukan yang bersemangat, berbanding kematian yang akan diketuk satu persatu ibarat tanda kesedihan.

“Zaman dahulu tiada pembesar suara, jadi beduk adalah alat yang selalu digunakan oleh pihak masjid,” kongsinya.

Menurut Md. Zin, beduk yang kekal utuh sejak tujuh dekad lalu, dipercayai dibuat daripada kayu yang tahan lama dan berkualiti tinggi.

Kalau tidak, mustahil ia mampu kekal utuh dan tiada kesan dimakan anai-anai atau rosak terkena air.

“Penduduk lama di sini yang pernah menyaksikan beduk diketuk hanya tinggal saya berdua dengan Haji Mokhtar. Zaman itu, kami masih kanak-kanak jadi tak tahu secara tepat jenis kayu beduk ini.

“Individu yang pernah bertanggungjawab mengetuk beduk juga sudah meninggal dunia,” ujarnya.

PENGETUK HILANG

Raut wajah Md Zin kelihatan sugul kerana beduk yang menjadi peninggalan sejarah tidak lengkap tanpa pengetuknya.

Katanya, alat pengetuk sudah lama hilang kerana menjadi bahan mainan kanak-kanak.

“Beduk sekarang hanya jadi bahan sejarah dan seperti perhiasan di masjid.

“Ia tidak lagi digunakan, namun nilai estetikanya masih kekal bernilai tinggi dan berharga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya