BALI: Penyanyi, Bunga Citra Lestari (BCL), dikatakan menempah semua bilik di sebuah hotel mewah di Bali, Indonesia untuk para tetamu majlis perkahwinannya.
Majlis perkahwinan antara BCL dan usahawan Tiko Aryawardhana didakwa berlangsung pada petang ini dan hanya dihadiri oleh sahabat dan keluarga terdekat seramai 100 orang.
Berita itu dikongsikan portal hiburan Indonesia yang mendedahkan kawasan lokasi pernikahan, Amankila Resort, Bali sudah pun dikawal ketat sejak pagi.
Pihak pengawal keselamatan di sana juga melarang mana-mana media untuk membuat liputan dan hanya membenarkan tetamu majlis perkahwinan sahaja untuk masuk ke pekarangan hotel.
“Tidak boleh membuat sebarang liputan. Di kawasan pondok keselamatan juga tidak dibenarkan,” kata seorang pengawal keselamatan kepada wakil media.
Semalam, penyanyi Badai Telah Berlalu itu menukar nama akaun Instagram kepada @itsmebcl seolah-olah menguatkan lagi khabar angin dia bakal mendirikan rumah tangga pada hari ini.
Sebelum ini, seorang kakitangan Pejabat Urusan Agama Pasar Minggu, membocoran rahasia apabila mengatakan bahawa BCL bakal mengadakan majlis pernikahan di Bali.
BCL pernah berkahwin dengan pelakon Malaysia, Ashraf Sinclair sebelum dia menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung pada 18 Februari 2020.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2008 itu dikurniakan seorang putera, Noah yang kini berusia 12 tahun. –UTUSAN