Bayi berusia 18 bulan maut kemalangan - Utusan Malaysia

Bayi berusia 18 bulan maut kemalangan

Nur Afiah Sumayyah yang berusia 18 bulan dipangku bapanya, Mohammad Sulaiman selepas selesai urusan bedah siasat di Unit Forensik Hospital Dungun, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang bayi perempuan berusia 18 bulan maut selepas kenderaan yang dinaiki bersama keluarganya terlibat dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 323.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran Plaza Tol Kerteh, dekat sini, kira-kira pukul 8 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mangsa, Nur Afiah Sumayyah Mohammad Sulaiman disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Dungun pada pukul 9.40 malam.

Hanyan berkata, difahamkan ketika kejadian, bayi tersebut bersama bapa dan neneknya serta tiga adik beradiknya yang menaiki Perodua Kancil sedang dalam perjalanan dari Felda Neram menghala ke Setiu.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila bapa mangsa tiba-tiba mengubah haluan ke lorong kanan jalan berikutan lorong kiri ditutup kerana jalan berlubang.

“Pada masa sama datang sebuah Perodua Alza yang dipandu seorang anggota tentera dari arah belakang di lorong sama, terlanggar bahagian belakang kenderaan keluarga itu menyebabkan Kancil tersebut terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang jalan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Hanyan berkata, kemalangan itu menyebabkan abang bayi tersebut patah kaki kiri manakala mangsa lain termasuk pemandu Alza tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan dan kita dimaklumkan bayi tersebut meninggal dunia kira-kira 9.40 malam tadi dan mayat bayi tersebut dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk tindakan lanjut,” katanya.

Hanyan berkata, kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya