SABAK BERNAM : Empat orang nelayan Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasa Matirim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana membawa 13 botol air ketum sejumlah 1. 5 liter (l) serta 1.62 kilogram (kg) di dalam sebuah bot nelayan kelas C di sekitar perairan Sabak Bernam, 4.55 petang semalam.
Difahamkan, kesemua ketum tersebut adalah untuk kegunaan mereka supaya mereka dapat bertahan lama di laut bagi menangkap sebanyak mungkin ikan dengan dipercayai kesemua mereka baru dua hari berada di lautan.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kesemua mereka ditahan dalam rondaan dalam Op Ehsan, Op Murni dan Op Tiris 2.0 oleh pasukan Maritim Malaysia.
“Bot nelayan itu dikesan di kedudukan kira-kira lapan batu nautika barat daya Tanjung Sauh. Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan itu dikendalikan empat warga Myanmar berumur lingkungan 26 hingga 41 tahun.
“Turut ditemui selain daun ketum adalah tiga botol ubat batuk dengan kesemua 1.62 kg daun ketum tersebut disimpan di dalam petak simpanan ikan yang mana peti tersebut mempunyai 50 kg ikan,” katanya pada Utusan Malaysia, hari ini.
Bagi kes tersebut, menurut Abdul Muhaimin, kes disiasat di bawah Akta Racun 1952 kerana memiliki air disyaki ketum dan daun ketum.
Selain bahan terlarang itu, pihak Maritim mendapati kesemua warga asing terbabit tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, di samping tidak memohon kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia bagi melakukan aktiviti perikanan.
“Difahamkan, tekong bot itu dibayar sebanyak RM120 sehari manakala tiga warga asing yang bertindak sebagai awak-awak pula dibayar RM90 sehari.
“Bagi dua kesalahan ini, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963,” ujarnya.
Kesemua kru, bot dan barang rampasan telah dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan selanjutnya. –UTUSAN