PONTIAN: Setiap kali tiba musim tengkujuh, sebuah keluarga di Jalan Pejabat, di sini tidak senang duduk kerana rumah mereka akan dimasuki air.
Namun, mereka tiada pilihan dan terpaksa mendiami rumah pusaka itu kerana tidak mampu untuk mencari kediaman lain ekoran kekangan kewangan.
Nur Syafiqah Mohd. Kamil, 28, berkata, rumah peninggalan bapa mentuanya itu mengalami banyak kerosakan, termasuk pada bahagian bumbung, dinding dan siling.
Suaminya, Mohd. Zarif Zahid, 30, yang bekerja di sebuah kilang di Senai, Johor Bahru hanya mempunyai pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan tidak mampu untuk membaiki kediaman tersebut.
“Nak cari rumah sewa di bandar Pontian paling rendah sewa bulanan sebanyak RM400, belum lagi bayaran deposit untuk dua bulan, selain bayaran bil elektrik dan air. Saya pun tidak bekerja kerana menjaga tiga orang anak yang berusia antara dua bulan hingga tujuh tahun,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Nur Syafiqah memberitahu, sebelum ini mereka ada memohon bantuan daripada pihak berkaitan bagi membaiki bumbung rumah yang bocor, namun hingga kini belum menerima sebarang maklum balas.
“Sekiranya mampu untuk membaiki bumbung dan lain-lain kerosakan, kami tidak akan memuat naik masalah ini dalam media sosial, namun keadaan benar-benar memaksa untuk berbuat demikian,” katanya dalam nada sedih.
Dia berharap ada pihak yang prihatin dapat membantu mengatasi masalah yang dihadapi keluarganya, apatah lagi kini sudah tiba musim tengkujuh.
“Saya dan suami hanya ingin memberikan keselesaan kepada anak-anak terutama sekarang musim hujan,” katanya sambil memaklumkan rumah itu dibahagikan secara faraid oleh arwah bapa mentuanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghubungi Nur Syafiqah menerusi talian 010-6664589 atau menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Hong Leong Bank bernombor 30801013014. – UTUSAN