PETALING JAYA: Pertandingan Bicara Berirama dan Choral Speaking Nuri Madani 2023 Peringkat Kebangsaan anjuran Bank Rakyat dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disertai 440 murid daripada 20 buah sekolah.
Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak berkata, pertandingan sebegini merupakan saluran terbaik bagi mendedahkan murid dengan kemahiran bahasa.
Katanya, ia secara tidak langsung menuntut mereka meningkatkan keyakinan untuk berkomunikasi agar sejajar dengan aspirasi Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
“Inisiatif ini secara tidak langsung memperkukuh komitmen Bank Rakyat sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) yang menyokong penuh aspirasi KPM dalam mencapai kemenjadian murid selain mewujudkan gagasan Anak Yang Baik Lagi Cerdik (ABC) bagi membina murid yang berdisiplin dan bersahsiah tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Program ini merupakan penganjuran kali ketiga oleh Bank Rakyat yang mana sebelum ini pernah diadakan pada tahun 2018 dan 2019.
Pertandingan Choral Speaking bagi kategori sekolah rendah dimenangi Sekolah Kebangsaan (SK) Subang Jaya manakala bagi kategori sekolah menengah pula dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Utama
Bagi Bicara Berirama kategori sekolah rendah pula, johan dimenangi oleh SK Sungai Bedaun dan pemenang bagi kategori sekolah menengah pula, johan dimenangi oleh SMK Agama Kota Kinabalu.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, pertandingan ini merupakan satu platform yang membawa gagasan kepada pendidikan negara cemerlang oleh generasi muda berbakat, gigih dan berdaya saing.
“Saya percaya bahawa nilai kepelbagaian dan kebersamaan yang ditanamkan dalam diri setiap peserta akan menjadi asas kepada pembentukan generasi muda yang bukan sahaja berjaya secara akademik, tetapi juga memiliki kepekaan sosial dan kebijaksanaan emosi.
“Ini sekali gus membangunkan bakat berkemahiran tinggi yang menepati permintaan industri, di samping meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya. – UTUSAN