Banjir: Warga emas berusia 99 tahun lali berpindah setiap tahun - Utusan Malaysia

Banjir: Warga emas berusia 99 tahun lali berpindah setiap tahun

ISMAIL Musa bersama dua anaknya, Fatimah (kiri) dan Kamariah di PPS Kampung Kemat, Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seorang warga emas berusia 99 tahun dekat sini sudah lali berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) kerana menghadapi banjir pada musim tengkujuh setiap tahun.

Ismail Musa dari Kampung Kemat berkata, berpindah di PPS telah menjadi rutin kebiasaan baginya yang menetap di kampung berkenaan sejak lebih 70 tahun lalu.

Bagaimanapun, menurutnya, bantuan dan kemudahan di PPS seperti khemah serta makan minum bertambah baik jauh berbeza dengan pengalaman pernah dilaluinya dulu-dulu.

“Saya asal dari Kampung Pasir Nering, tinggal di sini selepas mendirikan rumah tangga dan dikurniakan dua anak. Kawasan kampung ini sering banjir terutamanya apabila air Sungai Por melimpah sekiranya hujan lebat berterusan.

“Beginilah adat kalau tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai. Apabila musim tengkujuh mahu atau tidak tetap kena hadapi banjir serta berpindah.

“Bezanya cuma besar atau tidak banjir yang melanda itu. Saya sudah lali hadapi kejadian banjir berlaku saban tahun, usia sekarang pun hampir menjangkau 100 tahun,” katanya ketika ditemui di PPS Kemat, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, anaknya, Fatimah Ismail, 70, berkata, walaupun ayahnya sudah berusia namun masih mampu berjalan sendiri untuk ke bilik air atau tandas sepanjang berada di PPS namun akan diawasinya.

“Ayah merupakan penduduk tertua di kampung ini. Kalau ikutkan semangatnya dia boleh harungi air sendiri untuk berpindah ke PPS, namun kebiasaannya pasukan penyelamat hadir lebih awal membantu.

“Kita tidak biarkan dia berjalan seorang meredah banjir kerana bimbang keselamatannya. Kami berpindah pun tidak lama kerana air cepat surut dan paling lama pun dua atau tiga hari sahaja,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya