PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan melakukan ubah suai pada struktur alur limpah Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Pengkalan Teluk, Rantau Panjang, Kelantan susulan masalah banjir termenung di kawasan itu.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya akui masalah banjir termenung berlaku disebabkan pembinaan PLSB itu.
Beliau berkata, struktur alur limpah itu dibina pada awal tahun ini bagi mengatasi masalah banjir termenung yang kerap melanda kawasan itu sebelum ini.
“Kita akui ia antara kesan sampingan daripada pembangunan PLSB susulan jumlah hujan yang tinggi,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi dialog awam (town hall) menangani masalah jerebu rentas sempadan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai gesaan penduduk setempat agar kerajaan membina terowong pada benteng terbabit bagi mengatasi masalah air tersekat.
Katanya, beliau memahami keluh kesah penduduk di kawasan berkenaan dan masalah itu akan diatasi segera.
Media sebelum ini melaporkan, penduduk di 10 buah kampung termasuk Kampung Kusar, Kampung Padang Licin, Kampung Luar dan Kampung Tasek Bakong berdepan masalah banjir termenung sejak sebulan lalu.
Kerajaan sebelum ini, meluluskan peruntukan RM656 juta bagi PLSB Sungai Golok Fasa 1, membabitkan empat skop utama, iaitu Ban Banjir Sungai Golok (26.2 km), Ban Banjir Sungai Lanchang Lemal (19.84 km), Kuala Jambu Outlet Gate dan Ban Sungai Mentua.
Projek itu bertujuan mengurangkan masalah banjir di kawasan berdekatan Sungai Golok di Tumpat dan sebahagian Pasir Mas, meningkatkan keselamatan dan kedaulatan negara dengan pembinaan infrastruktur tebatan banjir. – UTUSAN