Banjir: Masjid, surau terjejas boleh mohon peruntukan kecemasan

Banjir: Masjid, surau terjejas boleh mohon peruntukan kecemasan

MOHD Na'im Mokhtar (tengah) menyampaikan bantuan banjir di Masjid Tengku Abdullah, Jerantut, Pahang. - UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Masjid dan surau yang terjejas banjir di negara ini boleh mengemukakan permohonan peruntukan kecemasan daripada Kerajaan Persekutuan bagi menampung kos kerosakan kesan bencana alam itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menegaskan, pihaknya bersedia mempertimbangkan setiap pemohonan pentadbir masjid dan surau kerana memahami kesulitan dialami mereka terutama bagi mengembalikan kemudahan untuk keselesaan jemaah.

“Selain daripada peruntukan RM150 juta oleh Kerajaan Persekutuan untuk pusat pendidikan, Insya-Allah kalau ada permohonan dikemukakan oleh masjid atau surau yang mungkin terkena musibah (banjir) ini, mungkin kita akan pertimbangkan, ” tegasnya ketika ditemui media selepas program Bantuan Misi Bantuan Agensi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama ) kepada Mangsa Banjir di Pahang di Masjid Tengku Abdullah, di sini, hari ini.

Seramai 29 mangsa banjir di Jerantut dan 126 mangsa banjir di Raub menerima sumbangan sempena majlis itu dengan nilai sebanyak RM92,000 wang tunai diagihkan kepada ketua isi rumah terbabit, selain pelbagai bantuan barangan keperluan asas lain.

Beliau pada masa sama menyarankan semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan berikutan bencana banjir yang melanda beberapa negeri dan musim Monsun Timur Laut ( MTL) masih berakhir Mac.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Na’im menjelaskan, isu penipuan pakej umrah yang berleluasa kebelakangan ini bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya kerana ia tertakluk kepada akta di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Beliau menasihati semua pihak yang ingin mengerjakan umrah untuk membuat semakan terlebih dahulu bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

Pada 19 Nov lalu, Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan Motac, Roslan Mohammad dilaporkan berkata, setakat akhir bulan lalu, sebanyak 62 kes penipuan umrah dilaporkan membabitkan kerugian kira-kira RM2.1 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya