Banjir gelombang ketiga di Terengganu bertambah buruk - Utusan Malaysia

Banjir gelombang ketiga di Terengganu bertambah buruk

PENDUDUK meredah air untuk meninjau banjir di Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Situasi banjir gelombang ketiga di Terengganu bertambah buruk dengan mangsa terus meningkat kepada 2,111 orang daripada 612 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 686 orang daripada 217 keluarga pada pukul 4 petang semalam.

Kemaman dan Besut menjadi daerah terbaharu dilanda banjir susulan hujan lebat yang masih berterusan sejak tiga hari lalu.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, ketika ini terdapat 45 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di enam daerah iaitu 21 di Dungun, 10 di Hulu Terengganu, lapan di Setiu, empat di Kemaman satu di Marang dan satu di Besut.

“Jumlah mangsa di Dungun meningkat mendadak kepada 1,149 orang daripada 299 keluarga berbanding 337 orang daripada 92 keluarga petang semalam.

“Peningkatan mangsa turut berlaku di Hulu Terengganu iaitu 393 orang daripada 148 keluarga berbanding 274 orang daripada 106 keluarga sebelum ini,” katanya di sini, hari ini.

Di Kemaman, seramai 348 mangsa daripada 110 keluarga mula dipindahkan ke empat PPS malam tadi manakala di Besut, hanya 19 mangsa daripada empat keluarga berada di satu PPS ketika ini.

Di Setiu pula, mangsa meningkat kepada 189 orang daripada 48 keluarga berbanding 63 mangsa daripada 16 keluarga petang semalam manakala di Marang, jumlahnya kekal tidak berubah iaitu 12 orang daripada tiga keluarga.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air melaporkan paras sungai terus menunjukkan trend menaik dengan tujuh sungai di Terengganu masih melepasi paras bahaya setakat pukul 8 pagi ini.

Di Hulu Terengganu, stesen bacaan merekodkan tiga sungai telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Berang di Kampung Menerong setinggi 25.18 meter berbanding paras bahaya 24.5 meter, Sungai Peneh di Felda Mengkawang setinggi 38.37 meter (paras bahaya 37.5 meter) dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu iaitu 22.47 meter (paras bahaya 21 meter).

Di Kemaman, Sungai Tebak di Jambatan Tebak, merekodkan bacaan setinggi 20.52 meter (paras bahaya 18.50 meter) manakala Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih setinggi 14.23 meter (paras bahaya 14 meter).

Di Dungun pula, stesen Kampung Raja merekodkan bacaan setinggi 38.83 meter di Sungai Dungun (paras bahaya 38.70 meter) dan di Jambatan Jerangau, sungai yang sama setinggi 14.21 meter (paras bahaya 12.50 meter).

Di Setiu, stesen bacaan Sungai Nerus di Kampung Langkap merekodkan bacaan setinggi
21.13 meter berbanding paras bahaya 21 meter.

Selain itu empat stesen bacaan di daerah Setiu pula telah melepasi paras amaran iaitu Sungai Nerus di Kampung Bukit, Sungai Setiu di Kampung Besut, Sungai Chalok di Jambatan Chalok dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri.

Empat lagi ialah Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, daerah Marang, Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik (Kemaman), Sungai Telemong di Kuala Ping (Hulu Terengganu) dan Sungai Besut di Kampung Keruak (Besut).

Dua lagi stesen bacaan sungai di dua daerah iaitu Kuala Nerus dan Kemaman pula kini telah melepasi paras berjaga-jaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN