Banjir gelombang ketiga bermula di Terengganu, 102 mangsa dipindahkan - Utusan Malaysia

Banjir gelombang ketiga bermula di Terengganu, 102 mangsa dipindahkan

ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meninjau keadaan angin kencang dan laut bergelora di Pantai Pulau Kekabu, Marang.- UTUSAN/PUQTRA HARRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Banjir gelombang ketiga mula melanda Terengganu malam tadi dengan 102 mangsa daripada 25 keluarga berpindah ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.

Ketika ini seramai 90 mangsa daripada 22 keluarga berada di dua PPS di Dungun manakala 12 mangsa daripada tiga keluarga berada di satu PPS di Marang.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, PPS pertama dibuka ialah pada pukul 9.30 malam tadi iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat, Dungun yang menempatkan 21 mangsa daripada lima keluarga.

“PPS kedua dibuka ialah di Dewan Sivik Wakaf Tapai, daerah Marang iaitu pada pukul 10 malam tadi (12 mangsa daripada tiga keluarga).

“Seterusnya PPS ketiga dibuka ialah Dewan Serbaguna Kampung Shukor pada pukul 12 tengah malam yang menempatkan 69 mangsa daripada 17 keluarga,” katanya di sini, pagi ini.

Baru-baru ini, Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan melanda Terengganu bermula semalam hingga esok dan banjir diramal agak buruk berikutan tempias dari ribut tropika Jelawat yang melanda Filipina.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air melaporkan empat sungai di Terengganu telah melepasi paras bahaya setakat pukul 8 pagi ini.

Di Setiu, stesen bacaan Sungai Nerus di Kampung Langkap merekodkan bacaan setinggi
21.72 meter berbanding paras bahaya 21 meter manakala Sungai Setiu di Kampung Besut merekodkan bacaan 17.69 meter (paras bahaya 17.50 meter).

Dua lagi ialah Sungai Telemong di Kuala Ping, daerah Hulu Terengganu iaitu setinggi 20.10 meter (paras bahaya 19.70 meter) serta Sungai Tebak di Jambatan Tebak, daerah Kemaman setinggi
18.71 meter (paras bahaya 18.50 meter.).

Selain itu enam sungai di lima daerah pula telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak (Besut) dan Sungai Berang di Kampung Menerong serta Sungai Tersat di Kampung Sekayu (Hulu Terengganu).

Selain itu ialah Sungai Nerus di Kampung Bukit (Setiu), Sungai Dungun di Jambatan Jerangau (Dungun) serta Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik (Kemaman).

Lapan lagi stesen bacaan sungai di enam daerah pula kini telah melepasi paras berjaga-jaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN