Banjir di Terengganu semakin kritikal, 8,808 mangsa berpindah di 128 PPS - Utusan Malaysia

Banjir di Terengganu semakin kritikal, 8,808 mangsa berpindah di 128 PPS

PENDUDUK meredah banjir untuk berpindah di Kampung Belimbing, Jongok Batu, Dungun, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Banjir gelombang ketiga di Terengganu semakin kritikal dengan jumlah mangsa terus meningkat hampir tiga kali ganda kepada 8,808 orang daripada 2,402 keluarga pada pukul 8 pagi ini berbanding 2,903 orang daripada 830 keluarga pada 4 petang semalam.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Kuala Nerus menjadi daerah terbaharu dilanda banjir pada hari ini.

Lebih banyak kawasan kampung dan perumahan terutama di pinggir sungai dan kawasan rendah telah dilanda banjir menyebabkan pusat pemindahan sementara (PPS) terpaksa dibuka di 128 lokasi di tujuh daerah berbanding 54 PPS sebelum ini.

“Hulu Terengganu menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 3,005 mangsa daripada 874 keluarga terpaksa dipindahkan ke 34 PPS pagi ini berbanding hanya 768 orang (257 keluarga) petang semalam.

“Banjir di daerah Dungun juga semakin buruk dengan mangsa terus bertambah kepada 1,609 orang (444 keluarga) di 25 PPS berbanding 1,220 orang (319 keluarga) sebelum ini,” katanya di sini, pagi ini.

Di Besut, mangsa terus meningkat dengan mendadak iaitu 1,609 orang (364 keluarga) di 24 PPS berbanding hanya 240 orang (53 keluarga) petang semalam.

Beliau berkata, banjir di Setiu juga semakin buruk apabila 1,432 mangsa (410 keluarga) kini dipindahkan ke 30 PPS berbanding hanya 302 orang (85 keluarga) sebelum ini.

“Begitu juga berlaku di daerah Kemaman apabila mangsa bertambah kepada 964 orang (290 keluarga) di 10 PPS berbanding hanya 361 orang (113 keluarga) petang semalam.

“Namun, banjir masih terkawal di daerah Marang kerana hanya 48 mangsa daripada 12 keluarga berada di dua PPS berbanding 12 orang daripada tiga keluarga di satu PPS sebelum ini manakala di Kuala Nerus, mangsa yang berpindah hanya 25 orang (lapan keluarga) di tiga PPS pagi ini,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air melaporkan 14 stesen bacaan di 11 sungai Terengganu masih melepasi paras bahaya setakat pukul 8 pagi ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya