KANGAR: Dua atlet berbasikal Perlis dalam Kejohanan Junior Cycling Malaysia (JCM) Series 4 2023 berjaya mempamerkan aksi terbaik apabila menyumbang pingat dalam penampilan pada edisi kali ini.
Muhammad Hakimi Edy Sunarko Abdul Basir,16, beraksi cemerlang setelah berjaya meraih pingat emas bagi kategori bawah 17 Kriterium dan pingat perak bagi kategori mass start bawah 17 tahun.
Selain itu, Muhammad Nadjmi Mohd Rosli pula berjaya meraih pingat perak dalam kategori percubaan masa kategori lelaki 17-18 tahun bagi kejohanan berkenaan.
Menerusi penganjuran saingan pada kali ini, lebih 302 pelumba melibatkan 17 pasukan negeri dan kelab tempatan telah terlibat dalam kejohanan tersebut.
Muhammad Hakimi berkata, dia merasa amat berbangga apabila dapat menyumbangkan dua pingat buat Perlis dalam penampilannya pada kali ini.
“Saya tidak menyangka dapat meraih keputusan cemerlang ini dan menghadiahkan pingat buat Perlis pada edisi JCM Series 4 kali ini,” katanya ketika ditemui selepas kejohanan berkenaan.
Mengulas lanjut, anak kelahiran Kampung Pondok, di sini berkata, dia sebelum ini turut menjalani latihan intensif di dalam Perlis dan juga luar negeri ini.
Katanya, kejohanan tersebut juga menjadi platform terbaik buatnya sebagai persediaan bagi menghadapi cabaran Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak pada Ogos tahun hadapan.
“Kejayaan saya ini juga dapat menunjukkan kepada rakyat Perlis bahawa negeri ini juga turut mempunyai potensi dalam sukan berbasikal,” katanya.-UTUSAN