PETALING JAYA: Penyanyi, Atilia Haron, 49, berterima kasih kepada seorang peminat yang bermulia hati membiayai tiket penerbangan bagi membolehkan ibunya, Salamiah Hassan bercuti ke Jepun.
Katanya, tindakan wanita yang tidak didedahkan identitinya itu secara tidak langsung merealisasikan hasrat penyanyi itu untuk bercuti dengan ibu tercintanya.
“Kami akan terbang ke Jepun pada 17 Disember depan. Tiket penerbangan ditempah seorang peminat yang mahukan saya membawa ibu bercuti keluar negara untuk mencari ketenangan.
“Disebabkan kemuliaan wanita itu, impian saya untuk pergi melancong secara berdua dengan ibu, tercapai,” katanya.
Atilia ditemui selepas majlis Anugerah Badan Pelindungan Hak Cipta Malaysia (MACP) 2023 baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, pelakon filem KIL itu memaklumkan keadaan Salamiah kini bertambah baik selepas melalui fasa sukar akibat kehilangan suami, Gery Hughes tahun lalu.
“Alhamdulillah dia sudah mula menyanyi, bahkan dua kali pergi ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah.
“Saya mahu dia gembira dan sedia menemaninya ke Tasmania, Australia satu tahun sekali untuk melawat pusara suaminya,” kongsinya.