Atasi iritasi kulit dengan ujian tampalan - Utusan Malaysia

Atasi iritasi kulit dengan ujian tampalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIBA-tiba sahaja muka jadi gatal-gatal, kemerahan, bengkak, pedih dan berjerawat teruk sejurus selepas bertukar produk penjagaan wajah baharu.

Pasti di antara kita pernah berdepan kejadian buruk ini hingga malu dan tertekan untuk keluar rumah berjumpa rakan-rakan.

Situasi tersebut berkemungkinan berlaku disebabkan alahan pada produk yang digunakan.

Bagi mengelak keadaan sama berulang, setiap individu wajib mengamalkan ujian tampalan atau patch test pada kulit terlebih dahulu.

Kaedah ini bertujuan untuk mengesan sama ada bahan-bahan dalam produk kecantikan dibeli boleh menyebabkan keradangan atau tidak.

Pakar estetik, Dr. Lim Ing Kien berkata, ujian tampalan bukan hanya untuk individu yang memiliki kulit sensitif, sebaliknya disarankan pada yang berkulit normal dan berminyak.

Katanya, patch test boleh dilakukan di bahagian-bahagian tertentu seperti belakang telinga, leher, pergelangan tangan, lengan, dagu.

“Langkah pertama, bersihkan bahagian yang dipilih dan kemudian lapkan hingga kering.

“Letakkan produk yang ingin diuji sebesar duit syiling 20 sen dan pantau selama 24 hingga 48 jam,” katanya.

Sekiranya anda mengalami tanda-tanda negatif sepanjang tempoh itu, hentikan segera menggunakan produk tersebut.

Bagi yang berdepan simptom teruk, segera ke klinik kulit berdekatan untuk mendapatkan rawatan untuk meredakan alahan kulit. 

“Selain itu, basuh serta-merta bahagian tersebut jika tanda-tanda negatif dikesan sebelum 24 jam,” katanya.

UJI SATU PRODUK DALAM SATU MASA 

Kadang kala, kulit muka tidak akan menunjukkan reaksi serta-merta terhadap sesuatu produk.

Sehubungan itu, Ing Kien menyarankan patch test dibuat sekurang-kurangnya selama seminggu.

Ujarnya, proses ujian pula terhad kepada satu produk dalam satu-satu masa.

“Bawah mata dan bibir merupakan antara bahagian terawal yang akan menunjukkan alahan terhadap sesuatu produk.

“Sekiranya tiada tanda-tanda negatif, produk itu berkemungkinan selamat untuk digunakan di seluruh wajah,” katanya.

Katanya, pengetahuan asas tentang cara pemakaian, kuantiti dan kekerapan penggunaan adalah penting untuk mecegah daripada sebarang iritasi.

 

OLEH : NURUL FASIHAH ABDUL RAHIM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya