PUTRAJAYA: Asas agama, akhlak dan nilai adalah elemen utama yang perlu dipegang setiap ahli politik dan penjawat awam bagi membina semula negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ketiga-tiga elemen itu perlu diperkukuhkan dahulu barulah beralih kepada soal membina pertumbuhan ekonomi, menggerakkan transformasi digital dan program transisi tenaga.
Beliau berkata, jika nilai diabaikan, maka semua usaha membina negara itu akan ketinggalan, justeru ia harus dikembangkan bersama-sama.
“Pertumbuhan ekonomi, tranformasi digital dan transisi tenaga itu semua penting. Kalau tidak kita bicara tentang nilai dan tidak lakukan kerja, maka kita akan ketinggalan.
“Jadi kita harus kembangkan kedua-duanya dan mendasari itu semua adalah sistem nilai. Nilai itu juga harus dimulakan dari peribadi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Disember di sini, hari ini.
Katanya, jika nilai ini dapat diterapkan, maka beliau yakin Kerajaan Madani dapat diangkat dari segi ekonomi dan sosial.
Anwar pada masa sama mengajak semua pihak menghentikan kelemahan lampau dan membina kekuatan agar tirai 2023 ini ditutup dengan semangat yang sama dan membuka lembaran baharu sejarah negara.
“Bukan soal pelaburan dan keyakinan negara luar sahaja tetapi kapasiti kita untuk mengangkat keupayan ekonomi, sosial bagi menggapai langit (idealisme bahru, perubahan teknologi digital dan sebagainya).
“Carilah jalan dan ikhtiar supaya kita dapat kembalikan maruah kepada bangsa dan negara,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, penjawat awam juga dinasihatkan supaya tidak terlalu selesa dengan apa yang sudah dicapai sebaliknya sentiasa membuka ruang bagi mendengar pandangan serta kritikan membina daripada pihak lain.
Katanya, setiap penjawat awam perlu mempunyai sikap sentiasa berusaha bagi mencapai kecemerlangan dan masih ada ruang dan kelemahan untuk diperbaiki.
“Itu andaian bahawa tidak harus ada budaya keselesaan, anggap kita sempurna dan tiada benda untuk diperbetulkan. Kalau ada sikap kemanusiaan dan tawaduk bahawa masih ada ruang untuk diperbaiki, harus ada (sifat) sedemikian termasuk saya,” katanya.
Selain itu, beliau juga mahu setiap ahli Parlimen supaya belajar daripada rakyat apa itu erti sopan dalam menetapkan soal akhlak dan nilai. – UTUSAN