APM Terengganu tangkap 7,023 ekor ular - Utusan Malaysia

APM Terengganu tangkap 7,023 ekor ular

MOHD. Hafiz Asikin (kanan) melihat seekor ular spesies sawa batik yang ditangkap di Ibu Pejabat APM Negeri Terengganu, Kuala Nerus, hari ini.- UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Sebanyak 7,023 ekor ular ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu di seluruh negeri ini sejak Januari sehingga November lalu.

Menurut Timbalan Pengarah (Operasi) APM Terengganu, Mohd. Hafiz Asikin, kes tangkapan ular menunjukkan jumlah tertinggi ketika musim tengkujuh iaitu 835 ekor pada Oktober dan 730 ekor pada November.

Beliau berkata, faktor kelembaban cuaca menyebabkan reptilia itu bersembunyi di kawasan lapang serta rumah kediaman dengan spesies sawa batik, senduk dan tedung paling banyak ditangkap.

Katanya, sebanyak 583 ekor ular ditangkap bermula Januari, Februari (665), Mac (718), April (624), Mei dan Jun (575), Julai (496), Ogos (633) dan September (589).

“Dalam tempoh itu juga, daerah Kuala Terengganu mencatatkan kes tangkapan ular terbanyak iaitu 2,444 kes diikuti 1,065 kes di daerah Marang dan 973 kes di daerah Dungun.

“Spesies ular memerlukan tempat terlindung untuk bersembunyi dan membiak, jadi peningkatan jumlah aduan ketika musim banjir adalah normal ekoran cuaca dingin dan lembap.

“Berdasarkan prosedur, kesemua ular yang ditangkap ini akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk dilepaskan ke habitat asal,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Mohd. Hafiz berkata, musim Monsun Timur Laut (MTL) dan gelombang banjir berikutnya dijangka masih berlaku di seluruh negeri ini sehingga Mac tahun depan.

Justeru itu menurut beliau, rumah kediaman orang ramai terutama mangsa banjir berisiko dimasuki reptilia berbisa itu termasuk ketika mereka berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Apabila pulang semula ke rumah, penduduk dinasihatkan mengambil langkah awal iaitu memastikan kawasan dalam dan luar rumah selamat kerana spesies ini boleh mengancam keselematan.

“Penghuni juga tidak digalakkan membuat tindakan sendiri bagi mengelak kejadian buruk sebaliknya melaporkan kepada anggota APM yang terlatih untuk menangkap ular berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya