KUALA LUMPUR: Penyanyi rock, Amir Masdi, menolak dakwaan dirinya anak seorang kenamaan yang juga pemilik syarikat gergasi di Sarawak.
Jelas Amir atau Amir Syazwan Masdi, 27, sebaliknya bapanya hanya bekerja di syarikat tersebut dan bukannya pemilik seperti yang didakwa ramai pihak.
“Saya garu kepala pada awalnya, kelakar juga bila ada orang menyangka saya anak orang kaya.
“Mungkin salah saya juga kerana tulis ‘my dad’s company’ dalam kapsyen itu membuatkan ada pihak menyangka bapa saya, Encik Masdi adalah pemilik syarikat berkenaan.
“Sebenarnya bapa saya hanyalah bekerja di bawah syarikat tersebut, dia hanyalah kakitangan salah sebuah anak syarikat. Persembahan saya pada malam itu adalah untuk majlis makan malam syarikat berkenaan,” katanya.
Amir ditemui Utusan Malaysia di sidang media showcase Amir Masdi Album Tour di Changkat Bukit Bintang, baru-baru ini.
Penyanyi itu mengulas tentang khabar angin tersebut yang timbul selepas penyanyi Puas itu memuat naik satu hantaran berserta kapsyen ‘bernyanyi untuk syarikat bapa’ di media sosialnya, baru-baru ini.
Kata Amir, dia dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Malah kata penyanyi lagu Asmara itu bapanya juga bukan penaja siri jelajah albumnya yang diadakan di tujuh lokasi iaitu Kuala Lumpur, Melaka, Labuan Perak, Penang dan Sabah, seperti diperkatakan sebelum ini.
“Saya bukanlah anak orang kaya juga bukan anak orang kenamaan.
“Bapa saya bukan ketua pegawai eksekutif (CEO) mana-mana syarikat dan dia juga tidak menaja showcase jelajah album saya baru-baru ini,” jelasnya.
Bercerita mengenai siri jelajahnya, calon Top 5 bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular itu tidak menafikan dia sedang mencari momentum mengadakan konsert sendiri yang dijangka tahun hadapan.
“Di pentas ini, saya dapat mengukur baju di badan sendiri. Berapa jauh saya boleh pergi, persediaan macam mana yang saya perlu buat jika saya nak membuat persembahan lebih daripada 15 lagu.
“Saya dan pasukan sebenarnya mempunyai target untuk mengadakan konsert tahun hadapan. Tapi saya kami tidak mahu ia hanya ala kadar.
“Banyak aspek perlu dijaga demi memastikan semua yang hadir rasa berbaloi. Saya pilih untuk buat konsert bila kami semua sudah bersedia,” jelasnya.
Amir akan mengadakan showcase jelajah album di lokasi terakhirnya iaitu Sabah pada 24 Disember ini.