RASANYA nama Amir Ahnaf sememangnya sering berlegar di garis masa media sosial. Jika satu masa dahulu, wataknya Kapla menjadi pujaan ramai. Mana-mana pergi, nama Kapla disebut-sebut.
Tetapi sedar atau tidak, nama pelakon itu semakin hari semakin mudah menjadi sasaran kecaman. Entah mana silapnya, ada sahaja yang tidak kena. Menari salah, menyanyi salah.
Terutama selepas persembahan pembukaan di pentas akhir All Stars Gegar Vaganza. Menyanyikan lagu Butter (dendangan asal BTS) nampak gaya, memang bertubi-tubi kecaman diterima.
Poklip sendiri tertanya-tanya, di mana pujian menggunung yang pernah membanjiri garis masa media sosial pelakon lelaki itu? Mereka lupakah dia Kapla?
Atau itulah hakikatnya, ketika nama dijulang, memang yang manis-manis sahaja diberikan? Jika ada ‘silap’ di mata warganet, bersedialah dengan muntahan kepahitan kata-kata.
Ada juga yang mempertikaikan keputusan dan strategi pemasaran seni Amir. Mengapa daripada seorang pelakon lelaki yang dikatakan mempunyai harapan besar, dia kini lebih senang untuk memancing kecaman?
Yalah, kalau dulu Amir pernah mahu mengubah industri tetapi memetik pertanyaan seorang pengguna media sosial, mengapa publisiti murahan juga menjadi pilihan?
Dulu berkompang mahu jadi pelakon yang berdiri atas bakat, tetapi sekarang ada yang bertanya apa cerita? Kontroversi murahan juga pilihan untuk segera popular?
Adakah salah pengurusan? Tetapi Amir juga ada hak untuk menolak dan kekal dengan prinsip. Namun jika apa yang dilakukan mendapat persetujuan tuan punya badan, maksudnya? Tepuk dada sendirilah ya.
Sudahlah kita tak ramai pelakon ‘jantan’, jangan pula Amir silap dalam percaturan. Jangan jadikan kontroversi sebagai cara mudah untuk popular, lantas bakat yang ada ‘disorok-sorok’.
Pilihlah naskhah yang menampakkan anda ada ilmu. Bukan sekadar hendak kejarkan rating tetapi dalam pada masa sama, mendidik masyarakat. Anda ada tanggungjawab itu.
Peminat anda (pelakon muda dan baharu) juga terdiri daripada golongan remaja dan kanak-kanak. Berilah sesuatu yang baik kepada masyakarat. Jangan menggadai prinsip, demi populariti.