Prk Kemaman: Amaran kepada BN, nilai semula kerjasama PH

PRK Kemaman: Amaran kepada BN, nilai semula kerjasama dengan PH – Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman semalam adalah amaran berterusan daripada pengundi kepada Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO supaya menilai semula kerjasama mereka dengan Pakatan Harapan (PH). 

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia ekoran rentetan trend penolakan pengundi BN terhadap kerjasama gabungan itu dengan PH seperti yang dapat diperhatikan dalam semua siri PRK sebelum ini. 

“(Selain itu), kejayaan memperoleh majoriti 37,220 undi, iaitu peningkatan hampir 10,000 undi berbanding keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah petanda jelas sokongan rakyat yang semakin kuat kepada Pas khususnya dan PN amnya. Semakin kuat ditekan, semakin kukuh sokongan rakyat.

“Pada masa sama, keputusan PRK Kemaman ini juga mengesahkan populariti kerajaan PH-BN yang semakin merudum. Rakyat khususnya orang Melayu, menolak kerjasama antara kedua-kedua parti ini.

“Buktinya jelas. Undi yang diperoleh oleh calon BN dalam PRK ini jauh lebih rendah berbanding undi yang diperoleh semasa PRU15. Ini petanda bahawa penyokong BN sendiri telah beralih arah menyokong Pas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Pas mempertahan kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti besar selepas Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi berbanding calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi.

Majoriti yang diperoleh Menteri Besar itu lebih tinggi berbanding majoriti yang diperoleh penyandang kerusi itu, Che Alias Abd. Hamid (27,179 undi) pada PRU15 lepas.

Terdahulu, Muhyiddin mengucapkan tahniah kepada Ahmad Samsuri atas kemenangan besar beliau dalam PRK Parlimen Kemaman.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Seri Ahmad Samsuri dan berdoa semoga beliau dapat memberikan khidmat yang cemerlang kepada penduduk di Kemaman.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua jentera pilihan raya parti-parti komponen PN yang telah bekerja keras untuk mencapai kemenangan ini. 

“Saya juga mengucapkan terima kepada semua pengundi di Kemaman yang telah mengundi calon Pas,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN