Amang seksual: Warga emas mahu peguam tak berbayar - Utusan Malaysia

Amang seksual: Warga emas mahu peguam tak berbayar

Encorp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Lelaki warga emas mengaku tidak bersalah dan berkeras meminta peguam tidak berbayar untuk mewakilinya dalam perbicaraan bagi kesalahan melakukan perbuatan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun pada Jumaat lepas.

Permintaan itu dibuat tertuduh, Maskuri Suharto 71, sebanyak tiga kali di hadapan Hakim Noridah Adam ketika berdepan pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

“Saya mahu peguam tidak berbayar, saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan. Selain itu, saya juga merayu jaminan rendah sebab tidak lagi bekerja, berusia dan tinggal berseorangan di rumah,” katanya.

Bagaimanapun, Noridah memaklumkan tertuduh boleh membuat permohonan bantuan guaman melalui Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang akan diperjelaskan kemudian.

Terdahulu, Maskuri mengaku tidak bersalah di hadapan Noridah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual dengan memeluk dan mencium pipi seorang remaja berkenaan semasa dalam perjalanan menuju sebuah stesen minyak di Bandar Bukit Tinggi pada pukul 10.30 malam, 1 Disember lalu.

Justeru, warga emas terbabit dituduh di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Suriantiazila Muhamad kemudian tidak menawarkan sebarang jaminan disebabkan keluarga mangsa merupakan kenalan rapat tertuduh sejak 25 tahun lalu.

“Selain itu, risau tertuduh akan mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan,” tegasnya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan dengan sebutan semula kes ditetapkan 5 Januari tahun depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya