PETALING JAYA: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyifatkan strategi lebih ampuh diperlukan bagi menangani isu berkaitan kartel yang didakwa memanipulasi projek tender kerajaan.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, strategi melibatkan pemilik syarikat berkahwin dengan beberapa isteri dan menggunakan nama mereka sebagai proksi memberikan impak negatif terhadap persaingan yang adil dan penipuan cara itu sama besarnya dengan ancaman rasuah.
Justeru, katanya, tindakan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memantau kegiatan kartel itu mesti disokong rakyat dan pasukan forensik pelbagai agensi yang pernah ditubuhkan perlu diaktifkan semula bagi mengekang segera masalah tersebut.
“Isu kartel melibatkan aspek yang kompleks dan memerlukan pemahaman mendalam dari pelbagai perspektif.
“Pasukan pakar forensik pelbagai agensi itu pasti akan dapat mengesan dan memberikan impak besar dengan tindakan perundangan yang lebih tegas.
“Pasukan forensik itu juga perlu bekerjasama dengan agensi penguat kuasa undang-undang untuk meningkatkan keberkesanan pencegahan dan tindakan yang tegas dapat dilakukan segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, media melaporkan, lebih 500 syarikat kini berada dalam penelitian MyCC selepas dipercayai membentuk kartel bagi membida tender projek kerajaan.
Antara modus operandi adalah ada pemilik syarikat sanggup berkahwin empat untuk membolehkan mereka menggunakan nama isteri dan saudara-mara sebagai proksi untuk memanipulasi tawaran tender.
Mengulas lanjut, Jais berkata, perlindungan kepada pemberi maklumat atau whistleblower juga perlu diperkemaskan dengan jaminan keselamatan kepada mereka dapat merangsang lebih ramai individu untuk melaporkan kegiatan mencurigakan.
Menurutnya, ini kerana usaha membanteras perkara itu adalah tanggungjawab bersama, maka penglibatan awam dan program kesedaran berterusan tentang kepentingan integriti dapat membina tekanan yang positif untuk mencapai ketelusan dan tanggungjawab yang diinginkan.
“Kes-kes yang berulang kali dilaporkan mengenai kartel memanipulasi tender kerajaan adalah amat mengecewakan terutamanya ketika ramai rakyat sedang berdepan dengan kegawatan ekonomi yang serius.
“Hanya tindakan yang cepat dan tegas untuk membanteras isu-isu ini dapat meredakan hati rakyat dan memupuk persekitaran perniagaan yang telus serta bertanggungjawab untuk kesejahteraan negara,” katanya. – UTUSAN