‘Akhirnya dapat peluk Along sebelum pejam mata’

‘Akhirnya dapat peluk Along sebelum pejam mata’

SITI Mariah Hamzah (tengah) memeluk Che Safuan Abd. Rahman dan Hamzah Said selepas mereka bertemu semula di Kampung Sireh, Kuala Nerang di Padang Terap, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERANG: “Sebelum ini setiap kali jumpa gadis sebaya Along saya akan peluk, cium mereka nak lepas rindu. Banyak tahun macam itu sejak anak hilang. Alhamdulillah sekarang dia sudah balik, boleh peluk puas-puas.”

Demikian luahan Che Safuan Abd. Rahman, 61, selepas anak kesayangannya, Siti Mariah Hamzah, 39, atau dipanggil Along yang menghilangkan diri sejak lapan tahun lepas, pulang ke pangkuan keluarga.

Katanya, sejak beberapa hari lalu apabila dimaklumkan polis tentang perkembangan terbaharu anaknya yang berada di Labu, Negeri Sembilan bakal pulang ke pangkuan keluarga, tidurnya sudah tidak nyenyak.

“Alhamdulillah terubat rindu. Semalam buat laksa kegemarannya. Bila sampai terus peluk untuk lepas rindu. Macam hilang beban dan kerinduan yang kami rasa setiap hari sejak dia menghilangkan diri,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Sireh, di sini.

Pada 21 November lalu, akhbar ini melaporkan tentang rayuan seorang ibu kepada anak sulungnya supaya segera pulang selepas lapan tahun menghilangkan diri tanpa berita.

Siti Mariah yang merupakan graduan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dalam bidang kaunseling dikatakan hilang selepas bekerja di sebuah bank secara kontrak di ibu negara.

Menurut Che Safuan, mereka sekeluarga menerima dengan ikhlas kepulangan Siti Mariah tanpa rasa sebarang kekecewaan atau marah kecuali kegembiraan yang tidak terhingga.

“Semuanya macam dulu-dulu juga. Along tetap macam dahulu walaupun badan dia sedikit berisi. Perangainya masih macam dahulu, dia seorang yang peramah tetapi tegas,” katanya.

Dia yang mencari rezeki sebagai penoreh getah berkata, keluarganya dimaklumkan Siti Mariah yang sudah berkahwin kini menjalankan perniagaan kecil-kecilan dan menetap di Labu.

“Sebagai ibu, mak cik hanya doakan yang baik-baik sahaja semoga ikatan keluarga kami ini kukuh. Alhamdulillah termakbul hasrat mak cik untuk Along kembali sebelum pejam mata,” katanya.

Dalam pada itu menurut suaminya, Hamzah Said, 65, keluarganya enggan lagi memperkatakan apa yang terjadi sebelum ini.

“Alhamdulillah, apa yang penting anak sulung saya sudah balik. Bila dia sampai rumah kami berpelukan dan Along mencium serta memohon ampun maaf kepada kami berdua. Tak tergambar perasaan kami kini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya