KUALA LUMPUR: Seorang lagi suspek sedang dikesan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat akauntan di kawasan perindustrian di Kampung Cheras Baru, di sini pada 11 Disember lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti suspek terbabit.
“Kita sedang memburu suspek berkenaan manakala dua lagi suspek akan tamat tempoh reman hari ini dan kami akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya (sambung reman atau tidak).
“Kita akan lihat apa keputusannya dan akan rujuk DPP dan minta pandangan beliau,” katanya
Beliau berkata demikian selepas ditemui Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki ditemukan maut disyaki dibunuh tepi jalan kawasan perindustrian di Kampung Cheras Baru di sini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin mengesahkan identiti mangsa sebagai seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat swasta.
Susulan itu, dua rakan mangsa berusia 25 dan 35 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang bagi membantu siasatan.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan beberapa kesan kecederaan pada badan mangsa akibat dipukul dengan objek tumpul. – UTUSAN