Ajal sehari selepas bergelar pengantin baharu  - Utusan Malaysia

Ajal sehari selepas bergelar pengantin baharu 

Pengantin baharu
MUHAMMAD Aiman Mohd. Radzi menunjukkan gambar majlis persandingan pasangan pengantin baharu itu dekat rumahnya di Kampung Tersusun, Bagan Sungai Burong di Sabak Bernam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Usia perkahwinan sepasang suami isteri hanya bertahan selama sehari selepas seorang daripadanya maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Bernam, Tanjong Karang, malam tadi.

Lebih memilukan, Allahyarham Norsyam Nassullah Rahim, 23, dipercayai dalam perjalanan pulang selepas mengambil baju pengantin bagi majlis persandingan sebelah keluarganya yang dijadualkan berlangsung  di Pulau Pinang hujung bulan ini.

Tragedi kira-kira pukul 10 malam itu turut mengakibatkan isterinya, Aini Hayati Mohd. Radzi, 22, patah kaki kiri manakala enam  mangsa lain cedera dan seorang lagi parah.

Abang sulung kepada Aini, Muhammad Aiman, 25, berkata pasangan pengantin baharu itu melangsungkan majlis pernikahan dan persandingan di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar di sini, kelmarin.

“Adik saya (Aini) dan arwah kemudian pergi ke Kuala Lumpur untuk memulangkan baju pengantin dan mengambil pakaian baharu bagi persandingan sebelah keluarga lelaki petang semalam (Ahad).

“Namun, saya terkejut apabila dihubungi rakan adik memaklumkan berita kemalangan itu pukul 10.35 malam tadi,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Tersusun, Bagan Sungai Burung di sini, hari ini.

Jelasnya, dia sekeluarga masih terkejut dengan kejadian itu yang berlaku dalam sekelip mata bagaimanapun, dia memaklumkan 

“Pasangan pengantin itu pulang ke kediaman keluarga kami bagi urusan pernikahan mereka sejak Khamis lalu. Adik saya sebelum ini bekerja sebagai pembantu farmasi sebuah hospital swasta namun berhenti kerja kerana berkahwin,” luahnya.

Tambah Muhammad Aiman, Aini Hayati kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sungai Buloh.

“Arwah adik ipar saya dikebumikan di kampung halaman keluarganya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang,” ujarnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang isteri menanggung duka selepas suami Norsyam Nasullah Rahim yang baru menikahinya pada Sabtu lalu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Bernam, di sini, malam tadi.

Norsyam disahkan maut di tempat selepas cedera parah sementara Aini Hayati mengalami kecederaan di bahagian dagu dan patah kaki kiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya