Aina Abdul, antara vokal atau busana gahnya - Utusan Malaysia

Aina Abdul, antara vokal atau busana gahnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RM400,000 bukan satu angka kecil. Kalaulah Poklip ada duit sebanyak itu, apa agaknya yang boleh dilakukan. Tetapi itu adalah jumlah keseluruhan busana yang disarung bintang muda, Aina Abdul.

Terlihat gah di atas pentas siri konsert yang ketiganya baru-baru ini, ternyata percaturan penyanyi Semalam itu berjaya. Rata-rata di media sosial membahaskan tentang betapa meganya busana yang dipakai.

Berasap, berputar, kilauan emas, rama-rama dan banyak lagi pujian yang dilayangkan peminat penyanyi muda itu. Ibaratnya, malam itu menjadi pentas pertunjukan fesyen seorang Aina Abdul.

Namun dalam ralIt menilai satu persatu pujian itu, terdetik di ruang kecil dalam fikiran Poklip, mengapa hanya soal fesyen dan busana yang menjadi buah bicara warganet? Tiadakah pujian tentang persembahan dan konsert itu sendiri?

Bukan tidak ada tetapi ternyata baju berasap dan putaran bunga lebih diangkat sebagai tajuk utama? Berat baju yang bergemerlapan keemasan meraih perhatian. Tidak ramai yang membicarakan tentang keampuhan vokal dan auranya.

Adakah sememangnya niat Aina sebegitu atau adakah percaturannya menampilkan busana gah itu membumikan tujuan asalnya mengadakan konsert? Satu persoalan yang Aina perlu tanya diri sendiri.

Tidak salah untuk berfesyen. Malah, itulah Aina Abdul yang kita tahu. Tetapi adakah itu legasi yang mahu dipegang penyanyi itu sepanjang karier seninya? Orang lebih membicarakan tentang baju berbanding pencapaian.

Kejayaan menganjurkan sebuah konsert berskala besar di Axiata Arena bukan sesuatu yang harus ‘dipadam’ oleh busana-busana itu. Semua itu harus seiring, baik fesyen, konsep, lagu dan vokal.

Malah susunan muzik dan kedinamikan persembahan penyanyi Sumpah itu juga seharusnya lebih ke depan. Bukan menafikan kepentingan fesyen dalam sesebuah konsert tetapi sekali lagi biarlah seiring.

Semua yang terlibat baik penata gaya dan pereka fesyen setiap busana juga merupakan orang penting industri seni. Poklip sendiri pernah berkerjasama dengan mereka semua. Kehebatan mereka bukan sesuatu yang harus direka.

Bukan mudah seorang penyanyi di tangga usia seninya kurang sedekad mampu menganjurkan konsert sebegitu. Ternyata Aina punya kedudukan dan pengaruh sendiri sehingga mampu mengumpulkan 12,000 penonton satu malam.

Tetapi sebagai peminat industri seni, Poklip sendiri berharap agar perjalanan Aina terus bersinar baik nyanyian, karya dan fesyennya. Tidak ada saling memijak antara satu sama lain, sayang nanti.

Malah peminat juga tidak usah membicarakan lagi tentang siapa nombor satu. Bak kata Ernie Zakri, setiap artis ada kedudukan sendiri dalam hati peminat mereka. Tak perlu berbalah, raikan sahaja semua.

Lihat sahaja peminat Aina ketika malam konsert baru-baru ini, bertemakan nama penyanyi itu sendiri, baik peminat lelaki atau wanita, masing-masing mengekspresikan jiwa ‘Aina Abdul’ dalam diri mereka.

Bukan sesuatu yang manis jika peminat setiap penyanyi bertelagah. Seharusnya kita berusaha, memberi sokongan untuk kemajuan mereka bukan sahaja di Malaysia, malah mampu menembusi sekurang-kurangnya pasaran Indonesia dahulu.

Kita lihat, tidak terlihat lagi penyanyi yang mengikut jejak langkah biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berjaya menakluk industri seni muzik Indonesia satu ketika dahulu. Sehingga sekarang, dia masih menjadi pujaan di sana.

Mungkin ada beberapa nama yang dilihat bakal mengekori rapat langkah Siti Nurhaliza, tetapi masih jauh. Kita harus sokong dan tanamkan semangat, Malaysia boleh. Hadirkan karya dan jiwa seni yang sejati.

Mengambil contoh, lagu Dawai yang sedang menggila sekarang. Mengapa tidak satu hari nanti lagu nyanyian dan karya tempatan pula menggila? Bila lagi fenonema Gatal (nyanyian Janna Nick) berulang kembali?

Sekali lagi, teruslah mekar ya Aina dalam laman seni. Jadikan kejayaan penyanyi-penyanyi senior sebagai tanda aras. Poklip yakin, satu hari nanti Aina akan terkenal di seantero dunia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya