Ahmad Zahid bantah permohonan Badan Peguam cabar DNAA

Ahmad Zahid bantah permohonan Badan Peguam cabar DNAA

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membantah terhadap tindakan Badan Peguam yang mempertikai keputusan Peguam Negara untuk tidak meneruskan kes terhadapnya menyebabkan Timbalan Perdana Menteri itu dibebas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan, September lalu.

Menurut peguam Guok Ngek Seong yang mewakili Presiden Umno itu, bantahan tersebut akan difailkan sebelum 11 Januari 2024.

Pada pengurusan kes sebelum ini, mahkamah menetapkan tarikh tersebut untuk mendengar permohonan Badan Peguam bagi mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman berhubung keputusan Peguam Negara itu.

Pada 4 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan)  melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada lapan pertuduhan rasuah, 12 dakwaan pecah amanah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi selepas pihak pendakwaan memaklumkan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Pada ketika itu, Peguam Negara melalui Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar menyatakan siasatan lanjut perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berdasarkan representasi yang dihantar Ahmad Zahid pada Disember 2022 iaitu tiga tahun selepas kes bermula.

Pada 2 Disember lalu, Badan Peguam memfailkan permohonan semakan kehakiman dan memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon supaya Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan, dibatalkan.

Badan Peguam turut memohon perisytiharan bahawa keputusan Peguam Negara itu adalah batal dan tidak sah serta dibuat melebihi bidang kuasa dan kuasa yang diberikan kepada responden pertama mengikut Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Turut dimohon ialah satu perisytiharan bahawa keputusan itu tidak munasabah, tercemar dengan tidak rasional.

Berikutan itu, Badan Peguam selaku pemohon tunggal, memohon perintah mandamus daripada mahkamah untuk mengarahkan Peguam Negara bertindak mengikut undang-undang.

Badan itu juga memohon agar Peguam Negara untuk bertindak mengikut Seksyen 254A Kanun Tatacara Jenayah dengan mendakwa semula Ahmad Zahid, sekiranya sesuai dan wajar.

Sebagai alternatif, Badan Peguam memohon perintah untuk mengarahkan Peguam Negara membekalkannya dengan maklumat, dokumentasi, sebab, asas dan butir-butir yang ia bergantung untuk mencapai keputusan bagi memohon DNAA terhadap Ahmad Zahid.

Badan Peguam memberi alasan dalam permohonannya, bahawa Peguam Negara bertindak secara ultra vires (bertentangan) bidang kuasa ketika memohon DNAA dan keputusan itu juga tidak munasabah dan tidak rasional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN