YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
semalam berkenan menyempurnakan perasmian Menara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Lorong Haji Hussein 2, Kuala Lumpur.
Turut mengiringi Seri Paduka ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Yang hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd. Na’im Mokhtar; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi MAIWP, Tan Sri Mohd. Daud Bakar; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd. Nizam Yahya dan Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.
Mohd. Na’im berkata, pemilihan lokasi baharu itu bagi memudahkan golongan asnaf berurusan dengan agensi berkenaan selepas tujuh kali berpindah tempat sejak penubuhannya pada 1974.
“Sejajar dengan pertambahan fungsi MAIWP serta pertambahan pegawai dan kakitangan MAIWP, bermula 1 September lalu, MAIWP sepenuhnya beroperasi di Bangunan Menara MAIWP ini,” katanya.
Pada majlis berkenaan turut dilancarkan logo sambutan Jubli Emas 50 tahun MAIWP. – UTUSAN