Agih buku percuma bantu perkasa Bahasa Tamil di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Agih buku percuma bantu perkasa Bahasa Tamil di Pulau Pinang

S. Sundarajoo (dua dari kiri) bersama sebahagian daripada murid SJKT yang menerima bantuan buku berkaitan Bahasa Tamil secara percuma di SJKT Mak Mandin, Butterworth, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Seramai 5,330 murid daripada 28 buah sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negeri ini menerima manfaat daripada pengagihan 15,990 buku latihan oleh Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Pulau Pinang, hari ini.

Pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, pengagihan itu melibatkan buku-buku latihan untuk subjek Bahasa Tamil Pemahaman; Bahasa Tamil Penulisan serta Bahasa Tamil Tatabahasa.

Sundarajoo yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri berkata, daripada keseluruhan 5,330 penerima itu pula, kira-kira 50.63 peratus atau seramai 2,699 daripadanya terdiri daripada kalangan mereka yang berpendapatan rendah atau B40.

“Ini pertama kali kita buat sumbangan buku seperti ini kepada murid-murid di SJKT di Pulau Pinang dan ia akan diteruskan pada masa akan datang.

“Inisiatif ini merupakan antara sistem sokongan yang digerakkan oleh Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Pulau Pinang untuk memperkasa lagi pembangunan pendidikan Bahasa Tamil di negeri ini.

“Ia juga selaras dengan tujuan utama inisiatif ini digerakkan iaitu untuk membantu mereka (murid SJKT) membuat persediaan secukupnya bagi Ujian Akhir Sesi Akademik 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan buku-buku latihan itu di Dewan SJKT Mak Mandin di sini, hari ini.

Sundarajoo berkata, pada majlis yang sama, pihaknya turut menyerahkan sebanyak 600 buah buku rujukan Bahasa Tamil untuk diagihkan kepada calon-calon yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada 52 buah sekolah menengah kebangsaan (SMK) di Pulau Pinang tahun depan.

“Secara keseluruhan untuk kedua-dua inisiatif ini, Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Pulau Pinang telah membelanjakan sebanyak RM65,000 untuk manfaat 5,930 murid dan pelajar sekolah yang mengambil subjek berkaitan Bahasa Tamil.

“Diharapkan inisiatif seperti ini akan meningkatkan prestasi akademik mereka di samping memberi galakan agar lebih ramai murid dan pelajar mengambil subjek Bahasa Tamil terutamanya dalam peperiksaan SPM pada masa akan datang,” ujar beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya