KLUANG: Pencarian seorang veteran komando yang dilaporkan hilang kelmarin diharapkan dapat ditemukan segera oleh pasukan penyelamat setelah usaha digerakkan sejak semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, walaupun pada akhirnya nanti mungkin membawa khabar duka kepada keluarga, namun harapan untuk mangsa ditemukan dalam keadaan selamat tetap ada.
Katanya, sebagai bekas anggota pasukan elit negara, Ab. Manan Keri, 74, bukanlah seorang yang lemah untuk berhadapan dengan cabaran seperti ini.
“Sama-sama kita berdoa agar mangsa ditemukan segera sama ada selamat atau tidak itu hanyalah ketentuan Allah yang menetapkannya.
“Saya sungguh kagum dengan komitmen dilakukan oleh pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus melakukan tugas dimanahkan tanpa mengira penat dan lelah,” katanya.
Sharifah Azizah berkata demikian selepas mendapatkan perkembangan operasi mencari dan menyelamat di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kampung Palembang, dekat sini, hari ini.
Menurutnya lagi, pihaknya akan sentiasa mengikuti perkembangan misi pencarian ini dengan memberikan bantuan secukupnya untuk sokongan semangat kepada anggota pasukan penyelamat terlibat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, operasi mencari dan menyelamat dalam kawasan lingkungan ditetapkan sudah berjaya dilakukan namun masih gagal memberikan petunjuk tentang kehadiran mangsa.
Katanya, cuaca yang amat baik hari ini memberikan peluang untuk pasukan penyelamat melakukan pencarian lebih terperinci khususnya di kawasan-kawasan yang dipercayai boleh menemui mangsa.
“Operasi mencari dan menyelamat dalam pada itu ditangguhkan pada pukul 6.30 petang dan akan disambung semula pukul 8 pagi esok,” katanya. – UTUSAN