PETALING JAYA: Pengasas Kumpulan Perbankan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dilantik sebagai Pengerusi baharu Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) berkuat kuasa hari ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman dalam satu kenyataan berkata, Tabung Haji TH mengalu-alukan pelantikan ini dan bersyukur kerana menerima tokoh yang dihormati dan berpengalaman khususnya dalam bidang perniagaan.
Menurut beliau, pelantikan Abdul Rashid juga diharap dapat menjadikan Tabung Haji sebagai institusi Islam yang dihormati atas pencapaian dan tadbir urus yang baik seiring dengan mandat penubuhannya untuk memudahkan umat Islam menyimpan untuk tujuan mengerjakan Haji.
“Kami yakin usaha untuk memperkukuhkan Tabung akan diteruskan dengan pengalaman dan kepimpinan beliau,” katanya dalam kenyataan.
Abdul Rashid dilantik bagi menggantikan Tan Sri Azman Mokhtar yang tamat tempoh sebagai Pengerusi.
Abdul Rashid adalah pengasas Kumpulan RHB dimana beliau telah menubuhkan syarikat broker saham Rashid Hussain Securities Sdn. Bhd. pada tahun 1983 dan seterusnya mengembangkannya menjadi salah sebuah kumpulan perkhidmatan kewangan bersepadu terbesar di Malaysia.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Nasional Berhad dari tahun 1994 hingga 1998. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Putrajaya Holdings dari tahun 1995 hingga tahun 2000.
Abdul Rashid juga di antara enam ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji dari 2014 Hingga 2020.
Beliau juga adalah Ahli Lembaga Gabenor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta turut dianugerahkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan bagi tahun 1445 hijrah/2023 masihi.
Dalam kenyataan sama, Tabung Haji berterima kasih kepada Azman sepanjang tempoh kepemimpinannya menerajui Tabung Haji.
“Sejak dilantik sebagai Pengerusi pada 20 Disember 2021, beliau juga berjaya memastikan kedudukan kewangan Tabung Haji lebih kukuh dengan mencatat jumlah deposit sehingga 30 November 2023 sebanyak RM 88.9 billion, peningkatan hampir tujuh peratus berbanding RM83.3 billion pada 1 Januari 2022,” katanya. – UTUSAN