PETALING JAYA: “Abang, mommy cuba kuat ya abang.”
Itu luahan terbaharu Ismanira Abdul Manaf, 28, ibu kepada kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, dalam Instagram (IG) miliknya hari ini.
Dalam hantaran itu, Ismanira turut memuat naik tiga gambar kenangannya bersama Zayn Rayyan berserta lagu Salam Terakhir nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.
Perkongsian ibu kepada ‘anak syurga’ itu ternyata menyentuh perasaan pengguna IG lain yang turut memintanya supaya terus kuat dan tabah menghadapi ujian.
Selain itu, rata-rata pengikutnya turut berharap ada keadilan buat arwah Zayn Rayyan dan pelaku segera ditangkap serta dikenakan hukuman setimpal.
Semalam, Ismanira berkongsi sekeping gambar di ‘IG Story’ yang meruntun jiwa dengan pesanan buat anaknya supaya menunggunya di sana.
Terdahulu, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di saliran air kira-kira 200 meter dari Apartment Idaman, Damansara Damai, kira-kira 10 malam Rabu lalu, selepas dilaporkan hilang lebih 30 jam.
Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badan. – UTUSAN