KLANG: Sebanyak 93 peratus syarikat dan entiti perniagaan didapati mematuhi arahan dan ketetapan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun ini.
Pengerusinya, Ahmad Sabki Yusof berkata, pematuhan itu termasuk melibatkan faktor pendaftaran dan penyediaan laporan syarikat.
Jelas beliau, keadaan itu menunjukkan bahawa tahap kesedaran semua pihak termasuk peniaga dalam talian semakin tinggi mengenai kepentingan mendaftarkan syarikat masing-masing.
“Namun, hanya ada segelintir yang masih melakukan kesalahan tidak mempamerkan nama dan nombor syarikat di premis perniagaan mereka.
“Selain itu, sebilangan kecil syarikat tidak menyediakan laporan kewangan yang wajib dilakukan setiap tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan penutup program Semarak Daya Niaga Usahawan di Kompleks Perniagaan GM Klang, hari ini.
Jelas Ahmad Sabki, keingkaran pemilik syarikat mematuhi peraturan antaranya boleh dikenakan tindakan kompaun mengikut Akta Syarikat 2016.
“Justeru, saya menyeru semua peniaga mengambil peluang mendaftarkan perniagaan secara sah di sisi undang-undang.
“Langkah ini perlu bagi memudahkan peniaga mendapat pelbagai manfaat yang ditawarkan kerajaan seperti bantuan peralatan, latihan dan bimbingan keusahawanan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 87,282 jumlah pendaftaran perniagaan direkodkan sejak Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) dimulakan sejak Januari 2021.
“Jumlah itu meliputi 50,782 golongan usahawan B40 dan 36,500 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa,” katanya. – UTUSAN