PETALING JAYA: Sebanyak 85 peratus pengguna domestik di Semenanjung tidak akan terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024.
Suruhanjaya Tenaga (ST) berkata, kira-kira tujuh juta pengguna domestik di Semenanjung tidak terjejas dengan pelarasan tersebut.
Jelasnya, sejumlah 99 peratus atau 8.2 juta pengguna domestik masih menerima subsidi daripada kerajaan, manakala bagi pengguna bukan domestik masih dikenakan surcaj yang sama.
“Berdasarkan kepada penyasaran semula subsidi ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1.9 bilion subsidi kepada kategori-kategori pengguna yang terlibat bagi meminimumkan impak surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sepanjang tempoh pelaksanaan ini,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.
13 Disember lalu, kerajaan bersetuju supaya pelarasan tarif elektrik di bawah pelaksanaan mekanisme ICPT dilaksanakan secara penyasaran semula subsidi bagi pengguna di Semenanjung untuk tempoh tersebut.
Pengguna domestik dengan dengan unit penggunaan elektrik sebanyak 600 Kilowatt Jam (kWj) dan ke bawah kekal menerima rebat 2 sen setiap kWj, manakala penggunaan elektrik melebihi 600 kWj hingga 1,500 kWj tidak dikenakan surcaj dan penggunaan melebihi 1,500 kWj pula surcajnya kekal pada 10 sen setiap kWj.
Bagi pengguna bukan domestik yang berada dalam kategori tarif komersial dan Perindustrian voltan rendah, tarif pertanian spesifik dan operator air dan pembetungan pula surcajnya kekal iaitu pada kadar RM3.70 setiap kWj.
Pengguna bukan domestik selain daripada tersebut turut surcajna kekal iaitu pada kadar 17 sen setiap kWj.
Mengulas lanjut, ST berkata, pengguna boleh merujuk kepada bil elektrik bulanan masing-masing bagi memantau penggunaan elektrik dan subsidi yang diberikan.
“Selain itu, pengguna juga boleh menganggarkan kos bil elektrik bulanan pada masa akan datang dengan menggunakan kalkulator tarif elektrik yang dapat dicapai melalui laman sesawang,” katanya. – UTUSAN