Warga emas guna bot fiber dibeli tahun 1980-an - Utusan Malaysia

Warga emas guna bot fiber dibeli tahun 1980-an

AYUB Deraman memeriksa bot fiber dibelinya pada tahun 1980-an di pekarangan rumahnya di Kampung Kepah, Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh NOOR HAYATI MAMAT

HULU TERENGGANU: Seorang warga emas dekat sini masih menggunakan dua bot fiber dibelinya sekitar tahun 1980-an lalu bagi urusan berpindah apabila banjir melanda di Kampung Kepah di sini.

Ayub Deraman, 87, berkata, dua bot tersebut dibelinya dengan harga RM600 dan RM880 itu telah banyak berjasa pada dia sekeluarga memandangkan rumahnya sering dilanda banjir kerana terletak cuma beberapa meter dari sungai.

“Saya tinggal di sini sejak tahun 1964 dan hadapi banjir setiap kali musim tengkujuh ekoran limpahan Sungai Telemong dan Sungai Kepah. Rumah saya paling awal dinaiki air.

“Duit hasil bertani, saya kumpul hingga dapat beli bot fiber ini untuk bawa isteri, Zainab Mat Ali, 77, dan anak-anak ke pusat pemindahan sementara (PPS) ketika mereka masih tinggal bersama dulu.

“Bot fiber ini sudah beberapa kali bocor kerana terlanggar dahan – dahan pokok tetapi selagi dapat dibaiki, saya tetap akan gunakannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kepah, dekat sini, hari ini.

Tambah datuk 14 cucu ini, menjadi rutinnya akan melakukan persiapan seawal bulan Oktober untuk hadapi sebarang kemungkinan banjir termasuk mengemas barangan di rumah serta memeriksa bot fiber.

Katanya lagi, walaupun biasanya dia tidak ke PPS dan hanya bertahan di rumah namun bot fiber berkenaan kini masih digunakan untuk bawa isterinya berpindah ke PPS.

“Rumah saya sudah dua kali dinaiki air tengkujuh kali ini, terbaharu pada Jumaat lalu dan isteri berpindah ke PPS beberapa jam kerana air mulai surut selepas itu.

“Semalam air surut sepenuhnya di halaman rumah, jadi saya ambil peluang untuk memeriksa semula bot dan didapati ada bahagian telah bocor,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya