750 anggota, 144 aset PDRM dikerah ke kawasan banjir

750 anggota, 144 aset PDRM dikerah ke kawasan banjir

AYOB Khan Mydin Pitchay (tengah) menyaksikan penyerahan Dokumen Serah Terima Tugas daripada Aidi Ismail (kiri) kepada Wan Hassan Wan Ahmad pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di PULAPOL, Kuala Lumpur. GAMBAR: FARIZ RUSADIO / PEMBERITA: HANIS UTUSAN / SHAHERMAN KOSMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Seramai 750 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikerahkan ke lima negeri yang terjejas akibat banjir.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya turut menggerakkan kira-kira 144 aset ke lokasi terbabit.

“Berdasarkan laporan berkala, keadaan banjir hari ini lebih baik berbanding hari sebelumnya. 

“Setakat 28 Disember (semalam), sebanyak 47 bot, 32 buah lori, 59 buah pacuan empat roda dan enam ambulans dikerah ke lima negeri yang masih ada masalah banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Majlis itu menyaksikan Datuk Wan Hassan Wan Ahmad dilantik sebagai Pengarah JPJKK Bukit Aman yang baharu menggantikan Datuk Seri Aidi Ismail.

Setakat hari ini, jumlah mangsa banjir di lima negeri mencatatkan peningkatan kepada 28,032 orang berbanding 25,763 orang malam tadi, yang ditempatkan di 137 pusat pemindahan sementara (PPS).

Laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menunjukkan Kelantan kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 21,377 orang yang ditempatkan di 68 PPS di lima daerah, meningkat daripada 19,423 orang pada 8 malam tadi.

Menurut laporan itu, 37 PPS dibuka di Pasir Mas yang menempatkan 18,289 mangsa, 19 di Kuala Krai (1,136 mangsa), masing-masing lima PPS di Tanah Merah (327 mangsa) dan Tumpat (1,507 mangsa) serta 118 mangsa berlindung di dua PPS di Gua Musang, setakat 6 pagi ini.

Di Terengganu, jumlah mangsa mencatatkan peningkatan kepada 6,289 orang yang berlindung di 59 PPS, pagi ini, berbanding 5,983 orang di 60 PPS, malam tadi, dengan daerah terjejas meliputi Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Terengganu, Marang dan Setiu.

Pahang turut mencatatkan peningkatan jumlah mangsa pagi ini kepada 214 orang yang berlindung di lima PPS di Jerantut, Kuantan, Lipis dan Cameron Highlands, berbanding 206 mangsa, malam tadi.

Laporan itu memaklumkan daripada lima PPS yang masih dibuka di Pahang, PPS di daerah Cameron Highlands membabitkan insiden tanah runtuh dan menempatkan 87 mangsa.

Di Sabah, 31 mangsa ditempatkan di dua PPS di Pitas setakat 6 pagi ini, meningkat sedikit daripada 30 orang pada 8 malam tadi.

Sementara itu, jumlah mangsa di Johor tidak berubah dengan 121 mangsa masih berlindung di tiga PPS di daerah Mersing dan Segamat.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN