KUALA LUMPUR: Sejumlah 73 peratus daripada seramai 1,600 responden bersetuju inisiatif Payung Rahmah dapat mengurangkan kos sara hidup.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, ia berdasarkan kajian impak yang dijalankan di Program Jualan Rahmah Bergerak bagi mengenal pasti kekurangan dan cadangan penambahbaikan.
“Seramai 81 responden atau majoriti responden menyatakan mereka berpuas hati dengan pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah dan 64 peratus responden menyatakan Jualan Rahmah Bergerak telah memberikan impak terus kepada mereka,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan yang dibangkitkan Senator Dr. R. Lingeshwaran yang ingin tahu berkenaan status pelaksanaan dan pencapaian untuk Program Jualan Rahmah Bergerak termasuk untuk kawasan pedalaman dan Sabah serta Sarawak.
Mengulas lanjut, Fauziah berkata, setakat ini, hanya rakyat di kawasan yang memiliki pasar raya yang menjadi rakan strategik KPDN adalah yang paling beruntung kerana dapat menyertai dan memanfaatkan Jualan Rahmah pada harga murah sehingga 30 peratus dari harga pasaran setempat.
“Rakyat yang berada di pedalaman di mana kawasan mereka tidak mempunyai pasaraya tidak dapat menikmati manfaatnya secara langsung kecuali jika mereka sanggup menanggung kos perjalanan dari kampung mereka ke lokasi Program Jualan Rahmah (PJR),” katanya. – UTUSAN