KUALA LUMPUR : Bagi memperluas jejaring sekali gus memperkenalkan acara kepada seluruh usahawan dan rakan niaga di Malaysia, Modest Fashion and Womenpreneur Summit (MFWS) 2024 akan diadakan bermula 8, 9 dan 10 Februari depan.
Dianjurkan oleh Kreasi Mode International, acara itu bakal menggabungkan seramai 62 usahawan dunia khususnya golongan wanita dalam pelbagai latar perniagaan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ayu May Fakih, acara berkenaan telah disasarkan untuk menggabungkan lebih ramai usahawan wanita dalam usaha menjalin sinergi positif dalam bidang perniagaan di seluruh dunia.
“Sebagai usahawan wanita di mana pun kita berada, saya percaya, kita semua akan bergerak lebih baik dalam bidang perniagaan sama ada fesyen atau tidak jika sama-sama saling bergabung dan menjalinkan kerjasama.
“Menerusi penganjuran MFWS 2024, saya mahu menggalakkan lebih ramai golongan usahawan wanita untuk berani membuka diri dan saling berkenalan untuk belajar satu sama lain dan bergandingan tangan bagi menjana ekonomi lebih baik,”katanya.
Ayu berkata demikian semasa ditemui pada majlis pertemuan usahawan wanita MFWS 2023 yang diadakan di RasaNya Steamboat, Pavilion Elite, baru-baru ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri seramai 25 peserta dari berbagai jenama perniagaan dan organisasi.
Antaranya, Cotton Seri Shafa, SriCandy, Sacoor Pavilion, Qoda, Asosiasi Fashion Indonesia, Prominent Syntax, Alynz Dressy, Zayana Yazed Creations Academy & Atelier, Jendela Spa, Salome, Bujins L Batik, Mitt Hijrah Travel & Tours, Let Them Shine Group, Manjasuri Ent, Jeff Nickelson Advertising dan Wardah Malaysia.
Mengulas mengenai pertemuan tersebut, kata Ayu, ia merupakan sebuah pertemuan ringkas untuk memperkenalkan golongan usahawan yang berminat untuk bergabung sempena penganjuran MFWS 2024 kelak.
“Ini merupakan ‘mini-event’ dari MFWS 2024 untuk mempertemukan para usahawan wanita dan memperkenalkan program tersebut.
“Kami juga ingin mula membangun hubungan satu sama lain. Di sini kami saling berkongsi mengenai halangan dan pelbagai persoalan lain selain menegaskan bahawa kalau ingin maju sama-sama, kita harus bersatu,” katanya.
Turut hadir ke majlis berkenaan ialah penulis novel terkemuka Indonesia, Asma Nadia dan pemilik Rumah Sabine, Susan Emir.
Selain aktif di bidang masing-masing, dua wanita ini juga aktif dalam bidang pemberdayaan wanita dan fesyen muslimah.