MELAKA: Seramai 617 atau 70 peratus daripada 881 mangsa kemalangan jalan raya dibenarkan memandu semula oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), selepas mereka menjalani program rehabilitasi memandu di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Tun Abdul Razak, Ayer Keroh di sini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, daripada jumlah tersebut, 402 individu atau 65 peratus adalah penunggang motosikal manakala selebihnya pemandu kereta.
Menurutnya, program dikenali sebagai ‘Return to Drive’ itu dikhususkan untuk mangsa kemalangan jalan raya menjalani terapi memandu dan menunggang motosikal.
“Terapi cara kerja akan menjalankan penilaian pra memandu dan menunggang motosikal secara off-road menggunakan simulator memandu dan latihan on-road menggunakan kenderaan yang telah dimodifikasi.
“Laporan hasil penilaian ‘Fit to Drive’ perlu memenuhi standard dan keperluan JPJ serta pengesahan pegawai perubatan Pusat Rehabilitasi Perkeso, barulah mereka dibenarkan memandu atau menunggang motosikal semula,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Sambutan Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya (WDoR) 2023 di Pusat Rehabilitasi Perkeso, hari ini.
Tambah Hasbi, mangsa yang telah disahkan pulih perlu mengisi Borang Pemeriksaan Kesihatan Bagi Permohonan Lesen Memandu Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mendapat kelulusan JPJ.
“Program ini bukan sahaja dapat membantu golongan OKU kembali memandu dengan selamat, malah lebih penting memastikan golongan berkenaan dapat meneruskan kehidupan untuk mencari rezeki dengan lesen memandu yang sah,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, Sambutan WDoR merupakan usaha kerajaan untuk meningkatkan program advokasi keselamatan jalan raya yang bermatlamat mencapai penurunan kematian dan kecederaan sebanyak 50 peratus menjelang 2030.
Jelasnya, berdasarkan perangkaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM), sehingga Oktober lalu, sejumlah 5,409 kematian akibat nahas jalan raya direkodkan.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,794 kematian melibatkan motosikal dan 835 adalah kereta. – UTUSAN