60 pesawah rugi, 300 ekar padi diserang penyakit BLB - Utusan Malaysia

60 pesawah rugi, 300 ekar padi diserang penyakit BLB

TAJUDDIN Abdul Rahman (dua dari kanan) bersama pesawah melihat padi yang rosak akibat penyakit hawar daun bakteria di Labu Kubong, Pasir Salak hari ini. - UTUSAN/UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Lebih 300 ekar padi di Mukim Labu Kubong dekat sini tidak dapat dituai pada musim penanaman kali ini kerana rosak diserang penyakit hawar daun bakteria (BLB).

Penyakit tersebut menyebabkan biji padi menjadi hampa dan serangan penyakit itu melibatkan 60 pesawah dengan anggaran kerugian kira-kira setengah juta ringgit.

Seorang pesawah, Ibrahim Shah Ahmad, 70, berkata, serangan bakteria itu pernah berlaku sebelum ini namun tidak seteruk kali ini.

Menurutnya, ini menyebabkan padi seluas 12 ekar yang diusahakannya di Parit 10 Kampung Permatang Pelanduk di sini langsung tidak boleh dituai.

“Rata-rata kami di sini membuat pinjaman bank sebagai modal untuk menanam namun kali ini tiada hasil langsung disebabkan serangan bakteria ini. Pendapatan saya musim ini sifar.

“Kini kami berdepan masalah untuk membayar balik pinjaman dan perlu mencari modal lain untuk penanaman padi musim seterusnya.

“Kebiasaan saya boleh dapat tujuh tan bagi satu lot sawah seluas lima ekar, tapi padi musim ini tak boleh dipotong sebab tiada hasil. Terpaksa bergolok bergadai apa yang ada untuk musim hadapan,” katanya di sini hari ini.

Seorang lagi pesawah, Mohd Syukri Daud, 37, berkata, serangan bakteria itu merosakkan tanaman padi seluas 11 ekar yang diusahakannya di Parit 10 Kampung Permatang Pelanduk di sini

Katanya, kerana tidak boleh dituai, dia kehilangan pendapatan hasil padi musim ini.

“Penyakit ini mudah merebak disebabkan hujan yang kerap dan masalah pengairan di sawah. Air yang terlalu dalam menyebabkan batang pokok padi jadi lembut hingga mudah diserang penyakit ini, anak pokok padi susah membiak dan mengurangkan keberkesanan racun,” katanya.

Sementara itu, Presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pasir Salak Bangkit, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang melawat sawah yang terjejas, meminta agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melakukan penyelidikan bagi mengatasi penyakit tersebut.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, penyakit itu perlu diatasi kerana membabitkan periuk nasi pesawah dan kebajikan keluarga mereka.

“Selain penyakit ini, pihak kementerian juga harus lebih teliti terhadap pelaksanan projek pengairan di kawasan sawah padi memandangkan ia mustahak terhadap kualiti hasil padi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya