HULU TERENGGANU: Seramai 57 penduduk Kampung Peneh terpaksa berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) balai raya kampung itu setelah kediaman mereka dilanda banjir dalam kejadian kepala air di Sungai Berang, dekat sini, malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Peneh, Che Khalid Jusoh, 57, berkata, kesemua mereka melibatkan 19 keluarga itu mula berpindah kira-kira pukul 11.30 malam.
Menurutnya, ada sebahagian rumah mangsa terlibat dinaiki air hampir dua meter berikutan limpahan air Sungai Peneh ekoran hujan lebat berterusan sejak semalam memburukkan lagi keadaan.
“Kampung ini saban tahun dilanda banjir ekoran limpahan Sungai Peneh dan Sungai Berang. Namun, kejadian malam tadi dipercayai akibat kepala air di Sungai Berang kerana paras air banjir meningkat secara mendadak bermula pukul 11 malam.
“Pusat pemindahan sementara secara tidak rasmi dibuka di balai raya untuk rekod pentadbiran kampung. Air mulai surut pukul 4.30 pagi tadi dan ada beberapa penduduk telah pulang ke rumah.
“Bagaimanapun, kami semua masih dalam keadaan berjaga-jaga memandangkan cuaca masih lagi hujan. Paras sungai masih lagi bahaya, sebarang kemungkinan boleh berlaku,” katanya ketika ditemui di Balai Raya Kampung Peneh, dekat sini, hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk, Razali Mat Rani, 44, berkata, dia bersama tiga ahli keluarganya terpaksa meredah air sejauh hampir 100 meter setelah keadaan kediaman mereka dinaiki air.
“Rumah saya berdekatan Sungai Peneh, hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan air melimpah. Paras air makin meningkat sehinggalah sekitar pukul 2 pagi, saya sekeluarga ambil keputusan berpindah.
“Saya terpaksa harung air sedalam kira-kira satu meter sambil dukung anak perempuan bongsu berusia setahun sambil ditemani isteri dan anak sulong kami berusia 12 tahun.
“Kami sekeluarga pulang ke rumah semula kira-kira pukul 8 pagi tadi setelah air di kawasan rumah telah surut,” ujarnya. – UTUSAN