KUALA LUMPUR: Cuba melarikan diri dengan melompat pagar serta terjun dari tingkat dua selain berpura-pura tidak mendengar ketukan pintu antara taktik warga asing dalam operasi operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Apartment Abdullah Hukum, dekat sini awal pagi tadi.
Bagaimanapun, semasa ditahan, sesetengah warga asing hanya terdiam dan meminta maaf selepas ditanya punca tindakan mereka tidak membuka pintu.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, operasi dengan kekuatan 85 pegawai dan anggota itu dijalankan bermula bermula 1.15 pagi.
Katanya, sebanyak 125 unit kediaman diperiksa di apartmen 14 tingkat itu berdasarkan risikan selama seminggu melalui aduan dibuat penduduk setempat tentang kebanjiran warga asing.
“Kita turut menjalankan pemeriksaan terhadap seramai 1,000 warga asing. Daripada jumlah itu, kira-kira 567 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia satu tahun empat bulan hingga 54 tahun termasuk 38 wanita ditahan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 72 warga Indonesia, Bangladesh (252), Nepal (163), Myanmar (75), Filipina (4) dan seorang India,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan.
Menurut Syamsul Badrin, pihaknya percaya kediaman terbabit disewa oleh PATI dengan bayaran bulanan kira-kira RM1,000 dengan menempatkan sehingga lapan penghuni.
Justeru itu, beliau menegaskan, pemilik warga tempatan yang menyewa kediaman kepada PATI akan dikenakan tindakan kerana melindungi kumpulan berkenaan.
Jelas beliau, kebanyakan tangkapan ini bekerja di kawasan sekitar.
“Warga asing yang ditahan ada yang berkeluarga dan sebahagian mereka duduk di kediaman tersebut dibayar oleh majikan, bagi yang kerja di syarikat lain dikesan membayar sewa secara persendirian,” katanya.
“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – UTUSAN