50,096 pelajar layak dapat Flysiswa

50,096 pelajar layak dapat Flysiswa

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sejumlah 50,096 pelajar layak mendapat bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Labuan atau FLYsiswa. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, seramai 35,994 atau 72 peratus pelajar setakat Selasa lepas, sudah menuntut baucar digital daripada syarikat penerbangan.

Justeru, beliau menyeru baki 28 peratus atau hampir 14,000 pelajar yang layak untuk menebus bantuan itu selewat-lewatnya pada 31 Disember depan.

“Jadi saya mohon untuk meuar-uarkan inisiatif ini supaya mereka mengambil peluang menebus bantuan ini sebelum 31 Disember, tetapi boleh mengambil (tiket) penerbangan pada bila-bila masa pada tahun depan sama ada musim perayaan atau musim cuti.

“Kita harap ia dapat ditebus 100 peratus kerana seperti yang kita janjikan, inisiatif ini akan tetap diteruskan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun sudah pesan, kalau hari ini lancar, inisiatif ini tidak boleh one of (kena) sepanjang masa, tiap-tiap tahun kena ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran FLYsiswa di Auditorium Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya, di sini hari ini.

Inisiatif FLYsiswa dipersetujui Jemaah Menteri pada 12 Julai dan mula dilaksanakan pada 15 Ogos lalu melalui kaedah pemberian baucar digital bernilal RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus bagi maksud pembellan tiket penerbangan bagi laluan-laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Selain pelajar universiti awam, pelaksanaan inisiatif ini turut diperluaskan kepada pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi serta pelajar Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia mulai 6 Oktober lepas.

Pelaksanaan FLYsiswa mendapat kerjasama daripada syarikat-syarikat penerbangan utama negara seperti Malaysia Airlines Berhad, Air Asia dan Batik Air.

Satu portal khas diwujudkan untuk memudahcara penempahan tiket menggunakan baucar FLYsiswa secara atas talian yang boleh diakses di laman sesawang https://subsidiudara.mot.gov.my.

Mengulas lanjut, Anthony Loke meminta pelajar merancang perjalanan dari awal untuk memanfaatkan harga tambang penerbangan yang terbaik walaupun Kerajaan Perpaduan memperuntukkan bantuan subsidi sebanyak RM300.

Katanya, ini kerana permintaan yang jauh melangkaui penawaran akan menjejaskan harga tambang.

“Berbanding sebelum zaman Covid-19 pada 2019, kapasiti penerbangan untuk laluan di antara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Labuan hanya mencapai tahap 75 peratus setakat Ogos 2023. 

“Namun, pemulihan jumlah penumpang mencapai lebih 100 peratus setakat April 2023, berbanding zaman pra-pandemik pada April 2019,” katanya.

Sementara itu, Anthony Loke dalam sidang akhbar berkata, mekanisme tuntutan inisiatif Flysiswa ini amat mudah dengan segala proses dan permohonan boleh dibuat secara dalam talian.

“Setakat ini kita tentukan RM300 terlebih dahulu. Kita (akan) lihat kemampuan kewangan kerajaaan (dari masa ke semasa jika perlu untuk tingkatkan nilai subsidi).

“Selain itu, kita maklum ada permintaan untuk meluaskan kategori, jadi kita kena lihat pertimbangan itu, jadi bagi kita kalau ada sumber kewangan besar sudah tentu nak bantu ramai orang termasuk mereka yang belajar di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), tetapi jumlah (pelajar IPTS) agak besar.

“Kita mulakan dulu tahun ini, dengan pengalaman tahun ini kita akan tambah baik untuk tahun-tahun seterusnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya