PUTRAJAYA: Sebanyak 50 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai dengan 4,986 unit perumahan berjaya dipulihkan pada Oktober lalu iaitu tertinggi bagi tempoh 10 bulan.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sebelum ini sejumlah 45 projek direkodkan pada September, 44 projek (Julai) dan 34 projek (Ogos) di bawah Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) yang diwujudkan Januari lalu.
“Sejak Januari hingga Oktober lalu, sebanyak 351 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai berjaya dipulihkan membabitkann 43,738 unit rumah dengan nilai pembangunan asar (GDV) sebanyak RM32.87 bilion.
“Sehingga 31 Oktober lalu, TFST tmerekodkan sebanyak 55 projek lewat, 497 projek sakit adalah sebanyak 497 projek dan 117 projek disahkan terbengkalai.
“Semua projek lewat, sakit dan terbengkalai ini membawa nilai GDV sebanyak RM74.92 bilion,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, walaupun terdapat pertambahan projek sakit dan projek terbengkalai, namun nilai GDV berkurang sebanyak RM4.11 bilion.
Akmal Nasrullah berkata sepanjang tempoh 10 bulan ini, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya mencapai kejayaan signifikan dalam pemulihan projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai.
Menurutnya, TFST turut mencadangkan supaya projek di bawah program perumahan kerajaan atau pihak berkuasa negeri yang terkesan dengan kelewatan atau mengalami status sakit supaya menerima manfaat daripada Dana Jaminan Khas berjumlah RM1 bilion seperti diumumkan pada Belanjawan Madani 2024.
“KPKT melalui urusetia TFST iaitu Jabatan Perumahan Negara (JPN) juga akan bersama Kementerian Kewangan bagi mengenalpasti kesesuaian dalam penentuan projek perumahan agar peruntukan diberikan dapat dimanfaatkan secara optimum,” katanya.
Sementara itu, katanya, Seminar Pemulihan Projek Perumahan Swasta Terbengkalai yang julung kali diadakan pada 16 November lalu menggariskan beberapa perkara bagi memulihkan projek perumahan terbengkalai.
“Antara cadangan dikemukakan termasuk memudahcara kelulusan teknikal; memperkemaskan perundangan dan penguatkuasaan; kawalan daripada pihak pembiaya; kawalan dari segi pengurusan syarikat yang terlibat dengan projek terbengkalai dan mekanisme kawalan pelaksanaan projek,” katanya.
Katanya, cadangan itu sedang diperhalusi untuk dilaksanakan pada tahun depan sekali gus menambahbaik pengurusan dan memastikan pengurangkan kepada projek perumahan swasta yang bermasalah. – UTUSAN