BAYAN LEPAS: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang menahan lima warga asing atas pelbagai kesalahan dalam operasi di beberapa unit rumah pangsa di Bayan Baru, di sini hari ini.
Pengarah JIM negeri, Shah Inor Shahbudin berkata, dalam operasi yang bermula pukul 12.30 pagi itu seramai 33 individu berusia 30 hingga 50 tahun telah diperiksa dari 11 unit rumah.
Jelas beliau, operasi itu dijalankan berdasarkan aduan awam dan risikan JIM berkenaan kegiatan warga asing yang dilihat sering berkeliaran di kawasan penempatan tersebut sehingga menimbulkan kebimbangan warga tempatan.
”Daripada 33 orang yang diperiksa, seramai lima warga asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang wanita dan lelaki warga Myanmar dan tiga lelaki warga Pakistan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, semasa serbuan di salah sebuah rumah, pihaknya turut menemukan beberapa peralatan elektronik termasuk komputer riba, mesin ‘laminate’, mesin pencetak, 246 keping kad plastik keras yang belum bercetak, tiga pasport yang sedang diubah usai dan lima keping i-Kad Imigresen yang telah siap dicetak.
”Turut dijumpai ialah tiga kad CIDB yang telah siap dicetak dan lima keping lesen memandu antarabangsa Pakistan yang juga telah siap dicetak di dalam bilik utama rumah berkenaan.
”Selain itu, turut ditemukan ialah peralatan pengubahsuaian pasport, 57 keping plastik ‘laminating film’ lutsinar, pemacu cakera keras serta tiga buah telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya.
Tambah beliau, selain kesalahan memalsukan dokumen, antara kesalahan lain yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Juru untuk siasatan dan tindakan lanjut.
”Operasi penguatkuasaan seperti ini akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara,” katanya. – UTUSAN