PETALING JAYA : Empat cedera selepas bilik transformer elektrik di zon industri bebas cukai Sungai Way terbakar sehingga menyebabkan asap tebal kelihatan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.53 petang itu, kesemua bilik transformer elektrik di kilang NXP Sdn Bhd terbakar 100 peratus.
Mereka yang cedera iaitu Muhammad Adham Nor Zali,21 ; Zaiful Amrun Mohd Zahar, 52 ; Nik Hafzan Ali, 34 dan Muhd Fauzi Abdul Rahim,34.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Ismail Wan Razali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 5.53 petang tadi.
Tiga jentera dan dua lori tangki air dikerahkan ke lokasi kejadian bersama anggota serta pegawai dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Petaling Jaya, dan BBP Subang Jaya tiba di lokasi pukul 6.07 petang.
“Kebakaran membabitkan bilik transformer dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bomba sedang bertungkus lumus mengawal kebakaran bagi mengelakkan api daripada merebak ke bangunan bersebelahan. –UTUSAN