GERIK: Seramai 10 lelaki warga tempatan antara 31 individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan perlombongan haram nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Hutan Simpan Bintang Hijau di Hulu Perak.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, tangkapan melalui Op Khazanah bersama Jabatan Perhutanan itu dilakukan pada pukul 3.30 petang, Jumaat lalu.
Katanya, dalam operasi itu, seramai 28 individu termasuk sembilan warga tempatan ditahan untuk siasatan lanjut.
“Susulan operasi tersebut, kita telah melakukan tangkapan lain melibatkan seorang lelaki warga tempatan dan dua lelaki warga asing di dua lokasi berasingan di Gerik.
“Jumlah keseluruhan tangkapan seramai 31 orang melibatkan 29 lelaki dan dua wanita. Warga asing yang diberkas pula terdiri daripada warga China, Myanmar dan Vietnam. Kesemua suspek berusia antara 23 hingga 69 tahun,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan, kesemua suspek tersebut dipercayai terlibat dalam kegiatan perlombongan haram NR-REE lantanid.
Katanya, siasatan kes tersebut dijalankan oleh Jabatan Perhutanan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).
“Kesemua tangkapan warga tempatan itu direman tiga hari untuk siasatan lanjut manakala tangkapan warga asing pula direman 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(B) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan semakan, kesemua warga asing yang ditahan itu juga didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
“Bagi kesalahan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) atas kesalahan menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan terdapat tangkapan beberapa individu berkaitan perlombongan haram lantanid di Hulu Perak.
Saarani bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkaitan tangkapan itu dan menyerahkan siasatan kes berkenaan kepada pihak polis. – UTUSAN