DUNGUN: Seramai 27 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu kerja-kerja menyelamat dan membersihkan rumah mangsa banjir menerusi Op Murni di daerah ini sejak Sabtu lalu.
Ketua Kompeninya, Mejar Mohd. Amir Mohd. Alid berkata, pegawai dan anggota tentera daripada Batalion Kelapan Belas Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) yang berpangkalan di Kuala Nerus itu dipecahkan kepada tiga kumpulan bagi membantu mangsa banjir terlibat.
Menurutnya, tiga kumpulan itu melibatkan Tok Kah, Sura dan Paka yang mengalami banjir agak serius.
“Kami akan membantu mengikut keperluan seperti kediaman warga emas yang terlibat banjir bagi meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui pemberita ketika membantu membersihkan rumah penduduk di Kampung Tok Kah, di sini, hari ini.
Selain itu, Mohd. Amir memberitahu, persediaan awal yang dilakukan pihaknya termasuk mengadakan tinjauan di beberapa kawasan ‘hotspot’ banjir di daerah ini.
Tambahnya, pihaknya juga menjalinkan hubungan dengan penduduk setempat untuk memudahkan anggotanya bertindak sebagai responden pertama apabila berlaku banjir tersebut,
“Pada awal pagi Sabtu lalu, kami dihubungi Ketua Kampung Tok Kah apabila air naik mendadak di kawasan kampung tersebut dan kami terus bergerak dari Kuala Terengganu untuk membantu kerja-kerja pemindahan banjir di kawasan terlibat,” kataya.
Mohd. Amir yang bertanggungjawab menyelia Op Murni di kawasan Dungun berkata, pegawai yang bertugas di Bilik Bencana Gerakan Negeri turut membuat pemantauan dan penilaian mengenai aras sungai di kawasan terlibat banjir.
“Kalau sungai melepasi paras bahaya atau pada tahap waspada, kami akan terus bersiap sedia (untuk operasi menyelamat mangsa).
“Kami juga turut berkolaborasi dengan Pejabat Daerah dan Tanah Dungun yang mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau paras air sungai,” katanya.
Sementara itu, salah seorang penduduk Anuar Kadir, 48, dari Kampung Tok Kah berkata, dia berterima kasih kepada pihak tentera yang bukan hanya membantu kerja-kerja menyelamat, tetapi juga turut membantu membersihkan kediamannya yang dipenuhi lumpur.
“Kalau nak bersihkan sendiri rumah kami memang memerlukan masa dan tenaga. Sekurang-kurangnya ringan sedikit bebanan kami,” katanya. – UTUSAN