24 rumah rosak ditimpa ribut - Utusan Malaysia

24 rumah rosak ditimpa ribut

HAYATI Mukhtar menunjukkan sebahagian bumbung rumahnya yang rosak dalam kejadian ribut di Taman Melor, Kampung Pengkalan Pandan, Chukai, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Sebanyak 24 buah rumah penduduk di Taman Melor, Kampung Pengkalan Pandan, Chukai di sini mengalami kerosakan dalam kejadian ribut yang berlaku kira-kira pukul 5 pagi tadi.

Tinjauan di kawasan tersebut mendapati, selain atap rumah penduduk diterbangkan angin, sebuah gerai burger turut ranap dan beberapa batang pokok juga turut tumbang.

Salah seorang penduduk, Hayati Mukhtar, 37, berkata, kejadian tersebut turut menyebabkan anaknya, Khairul Hazim Khairul Hisham, 11, mengalami cedera ringan di kepala selepas serpihan atap terjatuh ketika sedang nyenyak tidur di dalam biliknya.

Hayati berkata, ketika kejadian, dia yang baru bangun dari tidur untuk menyiapkan makanan dan pakaian sekolah lima anaknya terkejut apabila terdengar bunyi angin kencang.

“Masa kejadian, hujan lebat berlaku dan angin bertiup sangat kuat. Saya dan suami panik tak tahu nak buat apa.

“Saya dapat rasa pintu rumah kami bergegar. Kami bangunkan anak-anak dari tidur sebab bimbang atap runtuh. Namun belum sempat kami kejutkan anak yang ketiga, dia terjaga sendiri apabila serpihan atap terkena kepalanya, namun dia hanya luka kecil,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, hari ini.

Hayati yang tinggal di kediaman itu sejak 15 tahun lalu berkata, ribut yang melanda sekelip mata turut menerbangkan hampir keseluruhan atap rumahnya.

“Dalam sekelip mata, saya dengar atap rumah tercabut diterbangkan angin. Mujurlah siling rumah tidak runtuh dan menimpa kami sekeluarga,” katanya yang terpaksa menumpang di kediaman keluarga terdekat buat sementara.

Seorang lagi penduduk, Fatihah Mohd Rafi, 33, berkata, dia dan suaminya, Mohd Hafiz Mohamad, 35, terjaga dari tidur selepas terdengar bunyi angin yang sangat kuat.

“Masa kejadian saya hanya ingat nak lari keluar dari rumah sebab bimbang atap runtuh. Namun suami tegah sebab keadaan di luar rumah lagi bahaya dengan ribut kencang.

“Saya dengar bunyi atap dan angin seolah-olah bergulung-gulung sebelum keadaan kembali tenang. Atap rumah bahagian garaj dan bilik saya diterbangkan angin. Namun mujurlah kereta saya di bawah garaj tidak mengalami kerosakan,” katanya.

Bagi Kamaliah Hashim, 59, berkata, dia dan suaminya, Marzuki Ab. Rahman, 63, hanya mampu melaungkan azan dan berdoa agar kejadian ribut tersebut kembali reda.

“Masa tu mak cik dan suami bersiap-siap nak ke masjid untuk menunaikan solat Subuh. Sepanjang mak cik hidup, inilah kali pertama mak cik dengar bunyi angin yang sangat kuat. Memang mak cik ketakutan dan hanya doa supaya kami selamat sebab bimbang atap runtuh,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya