20,986 ditahan dalam 17,211 kes dadah sejak Januari - Polis Selangor - Utusan Malaysia

20,986 ditahan dalam 17,211 kes dadah sejak Januari – Polis Selangor

Dadah Selangor
S. SASIKALA Devi menunjukkan ketulan mampat daun kering dipercayai ganja dirampas polis dalam satu serbuan terhadap sebuah kereta dan bas pada Isnin lalu pada sidang akhbar di IPK Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis Selangor menahan 20,986 orang yang dikaitkan dengan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi tempoh Januari sehingga November lalu.

Tangkapan tersebut melibatkan 17,211 kes dengan rampasan dadah bernilai RM136.23 juta.

Terbaharu, polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dipercayai ganja selepas menahan empat lelaki di tepi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran stesen minyak di sekitar Kuala Lumpur pada 18 Disember lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, keempat-empat suspek itu disyaki terlibat dalam pengedaran 115.8 kilogram (kg) ketulan mampat daun kering tersebut menggunakan dua jenis kenderaan iaitu sebuah kereta Nissan Almera dan sebuah bas ekspres.

Menurutnya, risikan polis selama tiga bulan terhadap sindiket terbabit mendapati dadah berkenaan dibawa dari utara menuju ke selatan tanah air, namun dibawa ke Kuala Lumpur untuk transit.

“Kira-kira pukul 11.55 malam pada hari tersebut, bertindak atas maklumat dadah, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menahan empat lelaki dan membuat pemeriksaan dalam kereta dinaiki suspek.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemukan sebuah kota mengandungi 10 ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja dengan anggara berat, 10.4 kg,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Tambahnya, tangkapan tersebut juga menemukan 20 ketulan mampat dadah sama disimpan dalam lima buah kota di tempat letak bagasi bas ekspres berkenaan yang dalam perjalanan dari arah utara.

“Salah seorang suspek memandu arah polis ke bahagian simpanan barang dalam bas ekspres yang berhampiran dengan tempat kejadian,” ujarnya.

Jelas Sasikala Devi, suspek yang ditahan terdiri daripada pemandu bas, peniaga katering serta penganggur dan masing-masing berusia antara 32 hingga 54 tahun.

Tiga daripada mereka didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1(a) ADB serta Seksyen 323 dan 411 Kanun Keseksaan dan sebahagian mereka juga didapati positif dadah jenis ganja, amfetamin dan metamfetamin.

Turut dirampas adalah wang tunai berjumlah RM1,100. Keempat-empat suspek itu direman selama tujuh hari sehingga 25 Disember ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39B ADB yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 15 sebatan.

“Pemandu bas berkenaan dipercayai dijanjikan bayaran RM200 bagi setiap kilogram, namun tidak sempat menerima bayarannya.

“Dadah yang dirampas berjumlah 115.8 kg itu dipercayai boleh dibekalkan kepada 23,155 penagih dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak lima gram,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya